Anda di sini

Resolusi Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak diterima

Advertisement
 Sanib (lapan kanan) dan Syed Hossin (tujuh kanan) beraksi dengan wakil-wakil persatuan-persatuan Melayu yang lain selepas sidang media di Kuching, semalam.
HAK BUMIPUTERA: Sanib (lapan kanan) dan Syed Hossin (tujuh kanan) beraksi dengan wakil-wakil persatuan-persatuan Melayu yang lain selepas sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri bersetuju mengkaji semua Resolusi Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak, yang akan dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pemakai Menoa dan Pulau Galau untuk diteliti serta dipertimbangkan.

Pengerusi Badan Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak (BAHAM) Datu Dr Sanib Said berkata ia susulan daripada pertemuan bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada Rabu lepas.

“Beliau (Abang Johari) sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai pengertian serta definisi sendiri dan perbezaan ini akan diambil kira dalam sebarang keputusan yang berkaitan.

“Kami ingin menegaskan bahawa Hak Adat Bumiputera (NCR) bukan sekadar tanah, semua Bumiputera di Sarawak memiliki hak ini seperti yang termeterai dalam Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, sama juga dengan warga Bumiputera lain,” katanya.

Tambah beliau, dengan demikian diharapkan semua penduduk negeri ini khususnya dan Malaysia amnya mesti menghormati hak Melayu Sarawak sebagai Bumiputera.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Resolusi Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak yang dihadiri Timbalan Yang Dipertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) Syed Hossin Wan Hamit di sini, semalam.

Sanib yang juga yang Dipertua IGMS berkata, tidak dinafikan semua etnik Bumiputera Sarawak mempunyai hak NCR masing-masing begitu juga masyarakat Melayu Sarawak.

“Saya tahu selepas penganjuran seminar Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak anjuran IGMS, kami menerima maklum balas sama ada yang baik mahupun sebaliknya.

“Sama seperti apa yang saya selalu nyatakan sebelum ini bahawa setiap etnik Bumiputera Sarawak ada haknya dalam hal tanah, begitu juga Melayu Sarawak dan kami tidak menyalahkan mana-mana kumpulan untuk tuntutan hak mereka,” tegasnya.

Beliau memberitahu, hasil pertemuan dengan Abang Johari juga, badan berkenaan berhajat tidak meneruskan penetapan tempoh 14 hari kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan lanjutan.

Tambahnya, beliau telah diundang untuk berbincang dengan ketua menteri yang turut dihadiri dua Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Setelah berbincang, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri menyatakan beliau dan kerajaan negeri sentiasa bersedia mempertimbangkan dan mendengar sebarang isu berkaitan hak adat serta kebajikan penduduk Melayu Sarawak,” tegasnya.

IGMS pada seminar mereka sebelum ini menggariskan 11 resolusi untuk diambil tindakan termasuk menubuhkan Pasukan Khas Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak dalam tempoh 14 hari dengan mengambil kira perincian pasukan itu mestilah segera bermesyuarat.

“Dengan ini, BAHAM menaruh kepercayaan pada kebijaksanaan kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semua resolusi Seminar Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) berkata, Resolusi Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak adalah tidak sah.

Ketua Pemuda PBDSB Rapelson Richard Hamit menerusi kenyataan media berkata ia bercanggah dengan resolusi dicapai semasa Persidangan Pemakai Menoa dan Pulau Galau dihadiri pemimpin masyarakat baru-baru ini.

“Dilaporkan badan ber-kenaan mencari definisi tanah NCR mereka dan kerajaan negeri digesa untuk membentuk pasukan petugas dalam tempoh 14 hari untuk menghasilkan takrif tepat mengenai hak kawasan (territorial domain) yang berkaitan dengan Tanah Hak Adat Orang Melayu Sarawak.

“Tiada yang salah bagi orang Melayu untuk mendapatkan definisi NCR mereka, tetapi kita mesti berjaga-jaga dan mendapatkan Pemakai Menoa dan Pulau Galau kita secepat mungkin,” kata Rapelson.

Advertisement