PUTATAN: Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi telah menerima sumbangan sejumlah RM50,000 daripada kerajaan persekutuan.
Pengerusi Badan Perhubungan MIC Sabah Datuk V Jothi berkata sumbangan itu adalah untuk membiayai aktiviti membaik pulih kuil berkenaan.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberi sumbangan sebagai tanda prihatin terhadap rakyat.
“Kita telah serahkan peruntukan sebanyak RM50,000 daripada kerajaan melalui Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam kepada Kuil Sri Subramaniar di Kem Lok Kawi. Saya diarahkan untuk menyampaikan sumbangan ini pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena sambutan hari Thaipusam di sini pada Rabu.
Jothi berkata kerja membaik pulih kuil itu memerlukan kira-kira RM900,000 dan dijangka siap pada Mei.
“Walaupun kita adalah satu masyarakat minoriti di Sabah, kerajaan tetap prihatin memperuntukkan sejumlah kewangan. Kerajaan mahu agar rakyat di negeri ini dapat meraikan perayaan keagamaan masing-masing tanpa sebarang masalah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi Raman Anthony berkata kerja membaik pulih kuil berkenaan kini mencapai 70 peratus.