Anda di sini

Tipu umrah: Suri rumah ‘Kak Ton’ hadapi 11 pertuduhan babit kerugian RM44,000

Advertisement

ROMPIN: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 11 pertuduhan melakukan penipuan pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM44,000 sejak akhir Disember 2016 sehingga Oktober tahun lepas.

Tertuduh Zaiton Man, 48, atau lebih dikenali sebagai Kak Ton, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim, yang kemudiannya menetapkan 15 Feb untuk sebutan semula kes itu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud sehingga mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang secara tunai dan memindahkan wang ke dalam akaun tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan sejak Disember 2016 hingga Oktober tahun lepas di FELDA Keratong, Bandar Muadzam Syah, dan Bandar Tun Razak, di sini.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri.

Zaiton yang diwakili oleh peguam Osman Abdullah kemudian dibenarkan diikat jamin sebanyak RM35,500 bagi semua pertuduhan, dan tertuduh membayar wang ikat jamin berkenaan.

Sebelum itu seorang lelaki dipercayai suami tertuduh mengugut untuk menyaman wartawan yang hadir yang membuat liputan  kes berkenaan sekiranya gambar isterinya disiarkan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara petugas media dan lelaki berkenaan sehingga menarik perhatian orang ramai yang hadir di mahkamah. — Bernama

Advertisement