Anda di sini

EIMARace 2016: Penganjur rayu untuk teruskan perlumbaan

Advertisement

Terdapat kekurangan dalam aspek keselamatan penganjuran, kata saksi

KUANTAN: Mahkamah Koroner di sini semalam diberitahu bahawa penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 merayu pertan-dingan diteruskan walaupun terdapat kekurangan dalam aspek keselamatan.

Saksi inkues ke-17 Azmi Ariffin, 51, selaku steward perlumbaan itu berkata beliau tidak bersetuju untuk menjalankan perlumbaan walaupun penganjur ada melakukan penambahbaikan selepas ditegur pada sesi latihan.

Penganjur merayu untuk meneruskan perlumbaan kerana telah memanggil peserta dan orang kenamaan serta akan meningkatkan lagi tahap keselamatan,” katanya yang juga pegawai perlumbaan di Litar  Antarabangsa Sepang (SIC) sejak tahun 2010.

Azmi berkata demikian bagi menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin pada prosiding inkues bagi mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, pada EIMARace 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini pada 11 pagi, 25 Sept 2016.

Azmi menambah sesi latihan pada 24 Sept 2016 juga dibatalkan selepas mendapati tahap keselamatan tidak mencukupi kerana keadaan litar yang panjang akan meningkatkan kelajuan dan keadaan selekoh menuruni bukit.

Pihak penganjur telah menambah tahap keselamatan seperti penghadang air dan kedudukan petugas dan kami memulakan latihan bebas untuk melihat kesan perubahan.

Semasa latihan bebas, ada sebuah kenderaan terlajak dan keluar daripada litar menyebabkan saya dan penganjur berbincang mengenai penutupan keseluruhan litar yang didapati aspek keselamatannya masih tidak mencukupi,” katanya.

Azmi juga berkata kawasan penonton disediakan di dewan Sukpa dan pemeriksaan oleh beliau pada sebelah pagi sebelum perlumbaan mendapati kawasan kejadian tidak mempunyai orang awam.

Saya hanya tahu ada penonton selepas kemalangan kerana marshal beritahu ada kereta terbabas dan memerlukan ambulans. Saya tanya kenapa perlu ambulans jika pemandu selamat dan diberitahu kena penonton,” katanya.

Menjawab soalan Koroner Dazuki Ali, saksi yang terlibat dengan bidang perlumbaan sejak tahun 1990 itu berkata tidak semua penghadang perlu diisi air khususnya di laluan lurus kerana fungsinya adalah sebagai sempadan litar.

Ia sebagai panduan kepada pemandu dan hanya dicantumkan sahaja. Jika berlaku keadaan seperti kereta rosak, kita boleh angkat dan tarik kereta keluar. Penghadang yang perlu diisi air adalah di kawasan yang berbahaya seperti selekoh atau kawasan yang berkelajuan tinggi,” katanya.

Saksi inkues ke-18 Jamaluddin Tukimin, 55, selaku pengadil praktikal EIMARace 2016 berkata beliau telah mencadangkan lokasi perlumbaan dipindahkan ke litar khas di Pekan, selepas berpendapat banyak ciri keselamatan perlu diambil kira.

Perlumbaan itu pada asalnya dicadangkan di Stadium Hoki Wisma Belia di sini, namun penganjur tidak sempat membuat tempahan menyebabkan lokasinya ditukar ke Kompleks Sukpa.

Jamaluddin menambah kemalangan itu merupakan kejadian pertama kepadanya selepas terlibat dengan EIMARace sejak sembilan tahun.

Prosiding inkues dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin, peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia selaku penganjur, Che Ariffin Mohd Ali (keluarga mangsa), Mohd Syahril Daud (Persatuan Permotoran Malaysia) Juliana Abu Bakar (Majlis Perbandaran Kuantan) dan Ahmad Hazwan Hamdan (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser).

Prosiding itu bersambung 19 Februari depan. Bernama

Advertisement