Anda di sini

Saya cuba yang terbaik kawal jentera: Pemandu

Advertisement

Prosiding inkues diadakan bagi mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian mangsa

KUANTAN: Pemandu kenderaan go-kart yang melanggar dua beranak pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, beliau mencuba yang terbaik untuk mengawal jentera itu selepas terbabas.

Saksi inkues ke-14 Azril Ba’ith Razak, 27, berkata beliau menyedari kehadiran sebuah go-kart bernombor 22 cuba untuk memotong di antara keretanya yang bernombor 27 yang berada di sebelah kanan litar manakala go-kart bernombor 33 berada di kiri.

Saya melihat ada bayang kereta datang dari belakang dan saya cuba bertindak supaya kami tidak berlanggar. Tapi saya tidak dapat bertindak kerana kereta nombor 22 sudah bergesel dengan saya. Semuanya sekelip mata.

Saya kemudiannya terlanggar penghadang air di sebelah kanan yang menyebabkan go-kart saya melompat setinggi paras pinggang lalu merempuh orang awam. Jentera saya jatuh di antara longkang dengan saya masih di dalam,” katanya.

Azril Ba’ith berkata demikian bagi menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin pada prosiding inkues bagi mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, pada EIMARace 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini pada jam 11 pagi, 25 Sept 2016.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Multimedia Malaysia itu menambah keadaan kemudiannya mulai kelam-kabut dan beliau membuka tali pinggang keledarnya untuk keluar dari kenderaan yang direka dengan menggunakan enjin Honda Wave 125.

Saya lihat orang berkerumum di belakang kenderaan. Saya nampak seorang budak dalam longkang tidak bergerak. Orang ramai bantu panggil marshal dan ambulans. Saya tunggu ambulans tiba sementara menunggu bantuan daripada pasukan,” katanya.

Beliau menambah kemalangan berlaku pada pusingan keenam perlumbaan dan beliau ketika itu memandu pada kelajuan sekitar 80 kilometer sejam (kmj) dan tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Azril Ba’ith berkata EIMARace 2016 merupakan perlumbaan go-kart pertama yang disertainya, namun beliau mempunyai pengalaman memandu selama tujuh tahun dan tidak pernah terlibat dengan kemalangan.

Kenderaan go-kart yang digunakannya juga berada dalam keadaan baik dan mereka telah diberi taklimat keselamatan antaranya supaya berhati-hati ketika memotong pada perlumbaan itu. 

Sementara itu, saksi inkues ke-13 Ahmad Saifuddin Mahamud, 25, yang memandu kenderaan nombor 22 mewakili Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai berkata beliau telah memastikan terdapat ruang mencukupi untuk beliau mencelah pada perlumbaan itu.

Ketika sedang mencelah, jentera nombor 27 tiba-tiba masuk sedikit ke tengah jalan menyebabkan saya bergesel dengan jentera itu dan jentera nombor 33 yang berada di kiri,” katanya.

Ahmad Saifuddin menambah selepas kemalangan itu, beliau menghabiskan satu pusingan sebelum meletakkan kenderaan itu di tempat selamat, namun beliau dihalang daripada ke tempat kejadian oleh marshal bertugas.

Saksi yang kini bekerja sebagai juruteknik menambah perlumbaan go-kart bukan perkara baharu kepadanya kerana berpengalaman mengendalikan jentera itu selama tiga tahun dan pernah menyertai empat pertandingan seumpamanya sebelum EIMARace 2016.

Beliau mengakui semua pemandu kepada 40 kenderaan yang mengambil bahagian pada perlumbaan itu mendengar peraturan dan taklimat keselamatan, namun tidak pasti jika diingatkan supaya tidak mencelah di antara kenderaan.

Prosiding di hadapan Koroner Dazuki Ali yang dibantu Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Universiti Teknologi Malaysia selaku penganjur, Juliana Abu Bakar (Majlis Perbandaran Kuantan), Mohd Syahril Daud (MAM) dan Ahmad Hazwan Hamdan (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser) bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement