Anda di sini

Pelajar tikam diri dipercayai stres akibat pelajaran

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Seorang pelajar sebuah kolej swasta yang dipercayai tertekan akibat pelajaran nekad menikam dirinya di perut dalam kejadian di sebuah rumah di I-Mas Village di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 20 tahun dan berasal dari Kapit itu tinggal sementara dengan kakaknya untuk menjalani latihan industri dan dikatakan perlu menduduki peperiksaan ulangan pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, sekitar jam 2 pagi semalam, kakak mangsa terkejut apabila melihat mangsa terbaring kaku dengan pisau terpacak di perutnya.

Kakak mangsa menjerit ketakutan dan mangsa dikatakan sempat memberitahu ‘saya buat salah’ kepada kakaknya yang terus menghubungi abang mereka dan pihak polis untuk bantuan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak(PJHUS) oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh kakak mangsa dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern semasa dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat sebagai cubaan bunuh diri di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Mangsa pernah memberitahu kakaknya dia tertekan dengan pelajarannya.

Dia sepatutnya telah tamat pengajian di sebuah kolej swasta di Miri, tetapi disebabkan kandas beberapa subjek dia perlu menduduki peperiksaan ulangan yang dijadualkan pada Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, mangsa telah menjalani pembedahan sejurus tiba di HUS.

Pembedahan telah dijalankan dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil. Mangsa telah dipindahkan ke wad biasa dan masih berada dalam pemantauan pihak hospital,” katanya.

Advertisement