Anda di sini

Kuching saksi Super Blue Blood Moon

Advertisement
 
Fenomena gerhana bulan Super Blue Blood Moon kelihatan terang kira-kira 8.40 malam
Fenomena gerhana bulan Super Blue Blood Moon kelihatan terang kira-kira 8.40 malam
_

KUCHING: Cuaca baik pada malam ini memberi peluang kepada warga bandar raya ini untuk menyaksikan kombinasi tiga fenomena gerhana bulan iaitu Super Moon, Blood Moon dan Blue Moon, yang berlaku serentak dengan jelas.

Dikenali sebagai Super Blue Blood Moon, fenomena ini berlaku kali terakhir 152 tahun dahulu pada 31 Mac 1866.

Kira-kira lebih 100 masyarakat pelbagai kaum berkumpul di Tebingan Kuching berhampiran Hotel Grand Margherita di sini, bagi menyaksikan fenomena gerhana bulan tersebut.

Sesi cerapan gerhana bulan itu dianjurkan oleh Planeterium Sultan Iskandar (PSI) Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak.

Sebahagian warga kota berkumpul bagi menyaksikan fenomena Super Blue Blood Moon di Tebingan Kuching berhampiran Hotel Grand Margherita, Kuching malam ini.

Sebanyak dua teleskop disediakan oleh pihak PSI bagi membolehkan orang ramai menyaksikan fenomena ini dengan jelas.

Kurator PSI, Ismandy Ali yang ditemui berkata, beliau berharap program itu dapat menarik minat orang ramai terutama dalam bidang astronomi.

“Fenomena ini mendapat gelaran Supermoon kerana kedudukan bulan yang dekat dengan bumi jika dibandingkan dengan malam-malam yang lain.

“Pada masa yang sama, fenomena ini juga dikenali sebagai Blue Moon disebabkan bulan penuh berlaku dua kali pada bulan ini mengikut kalendar Gregorian. Bulan penuh pertama berlaku pada 2 Januari lalu,” katanya.

Pada malam ini juga, katanya, bulan kelihatan seakan bewarna kemerah-merahan (disebabkan bayang-bayang bumi jatuh di permukaan bulan) adalah sebab fenomena itu diberi gelaran Blood Moon.

Sumber: ANGKASA

Dalam perkembangan sama, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi kenyataan akhbar berkata Gerhana Bulan Penuh akan berlaku di Timur Eropah, Timur Afrika, Asia (termasuk Malaysia), Australia dan Amerika Utara. 

Ia mengambil masa selama 5 jam 17 minit bermula pada jam 6:51 petang hingga 12:08 tengah malam.

Ini bermakna gerhana sedang berlaku ketika Bulan terbit di ufuk Timur (kecuali Sabah dan Sarawak - gerhana bermula selepas Bulan terbit). Fasa gerhana penuh maksima adalah pada jam 09:29 malam dan keseluruhan gerhana ini akan berakhir pada jam 12:08 tengah malam iaitu pada 1 Februari 2018. 

Kedudukan bulan, bumi dan matahari ketika gerhana bulan. - Gambarajah ANGKASA.
Kedudukan bulan, bumi dan matahari ketika gerhana bulan. - Gambar rajah ANGKASA.

Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila Matahari, Bumi, dan Bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan Bulan merentasi bayangan umbra Bumi. 

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar dari warna putih mutiara yang biasa kita lihat kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Proses bulan bertukar warna dari putih kepada merah.
Proses bulan bertukar warna dari putih kepada merah. - Gambar rajah ANGKASA

Warna kemerahan yang akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari 2018 berbeza dari gerhana-gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas Bumi dan kedudukan Bulan di sepanjang orbitnya. 

Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari 2018, Bulan juga sebenarnya baru sahaja melepasi kedudukan perigee iaitu pada 30 Januari 2018 dengan jarak 358,993 kilometer dari Bumi dan sekali gus menjadikan gerhana kali ini ini “Gerhana Supermoon' (antara takrifan ‘Supermoon’ adalah apabila bulan berada pada jarak kurang daripada 360,000 kilometer dari Bumi). 

  • oleh
  • Advertisement