Anda di sini

Percepat pembangunan sekolah usang di Sarawak: Manyin

Advertisement
 Manyin (kanan) melakukan pelancaran Persidangan Guru Besar Sarawak (Zon Tengah) 2018 sambil disaksikan (dari kiri) Dr Abdul Rahman, Sudarsono dan Tiong di Sibu semalam.
RASMI: Manyin (kanan) melakukan pelancaran Persidangan Guru Besar Sarawak (Zon Tengah) 2018 sambil disaksikan (dari kiri) Dr Abdul Rahman, Sudarsono dan Tiong di Sibu semalam.

SIBU: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya mempercepatkan pembangunan sekolah kategori usang di negeri ini.

Katanya daripada 1,454 sekolah di negeri ini, 70.2 peratus atau 1,020 adalah sekolah dikategorikan usang.

“Daripada 1,020 buah sekolah itu, 415 dikenal pasti sekolah terlalu usang dan memerlukan bantuan pembangunan segera.

“Kita memandang serius hal ini bagi membolehkan murid belajar dengan lebih selesa begitu juga guru-gurunya supaya dapat mengajar tanpa sebarang masalah.

“Sekolah cukup insfrastruktur dan pembangunannya menjamin prestasi sekolah cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum,” katanya pada Persidangan Guru Besar Sarawak (Zon Tengah) 2018 di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, Setiausaha Tetap Kementerian Datu Sudarsono Osman dan Timbalannya Dr Abdul Rahman Deen dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Salemah Chali.

Menurut ADUN Tebedu itu, pada Rancangan Malaysia Ke-11 sebanyak 205 sekolah usang di negeri ini akan diperbaiki.

Sebanyak 210 lagi diperbaiki menerusi dana RM1 billion seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2018 lalu.

“Bagaimanapun, jumlah 210 sekolah usang itu sangat memerlukan dana besar,” tegasnya.

Sementara itu, Manyin berkata untuk mengangkat standard bahasa Inggeris di negeri ini, ia mesti dilaksanakan segera memandangkan bahasa itu merupakan bahasa antarabangsa.

“Justeru, cara praktikal sangat berguna bagi menentukan inisiatif semua pihak dapat dilaksanakan dengan tahap baik.

“Kerajaan negeri melalui kementerian saya sudah mula mengkaji beberapa inisiatif bagi mengangkat standard bahasa Inggeris di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, ia merangkumi menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris di papan tanda sekolah serta melakukan penterjemahan Rukun Negara di semua sekolah.

“Ini adalah langkah kita untuk murid-murid menguasai bahasa Inggeris,” katanya sambil menambah, wakil rakyat juga diseru mencari sekolah angkat di kawasan mereka untuk menyemai penggunaan bahasa Inggeris.

Selain itu, Manyin memberitahu bahawa Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris (SELES) diadakan tahun ini iaitu di Miri pada Ogos ini setelah mula diadakan tahun lalu.

Beliau berharap agar SELES dapat diadakan secara tahunan.

Persidangan Guru Besar Sarawak (Zon Tengah) 2018 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dan Jabatan Pendidikan Sarawak dihadiri seramai 470 guru besar dan 12 pegawai Pejabat Pendidikan Daerah lain.

Ia bagi mengangkat tahap kepimpinan guru besar sesebuah sekolah, menambah perhubungan profesional antara guru besar, berkongsi kejayaan memimpin sekolah serta mengeratkan perhubungan sekolah dengan komuniti, agensi dan industri.

  • oleh
  • Advertisement