Anda di sini

Zaiton Sameon, Hamid Gurkha antara artis sertai Program Umrah Penggiat Seni

Advertisement
 Seramai 23 penggiat seni terdiri daripada pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah dan penulis yang menyertai ibadah umrah pada Majlis Pelepasan Jemaah Umrah Penggiat Seni di KLIA semalam. — Gambar Bernama
UMRAH: Seramai 23 penggiat seni terdiri daripada pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah dan penulis yang menyertai ibadah umrah pada Majlis Pelepasan Jemaah Umrah Penggiat Seni di KLIA semalam. — Gambar Bernama

SERAMAI 23 penggiat seni antaranya Sahara Yaacob,  Zaiton Sameon, Ayati Tasrip, Ibnor Riza Ibrahim, Zaleha Hamid, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Baharuddin Buyong Kahar, berangkat ke Makkah di bawah Program Umrah Penggiat Seni semalam.

Program anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih itu julung kali diadakan, hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Penggiat Seni tahun lepas.

Bagi novelis veteran, Baharuddin, 71, peluang pertama kali bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah itu umpama mimpi indah buat dirinya yang kini menyara hidup dengan menjual sate di Segamat, Johor.

Beliau yang popular dengan novel berjudul ‘Senjakala’ yang pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1988 hingga 1992, bergantung hidup dengan hasil jualan antara RM500 hingga RM600 sebulan.

“Dengan pendapatan seperti itu saya memang tidak mampu untuk mengerjakan umrah, apatah lagi anak bongsu masih belajar di universiti. Saya bersyukur terpilih untuk program ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan kumpulan jemaah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Masih aktif menulis novel dan cerpen, Baharuddin yang mempunyai empat orang anak berusia antara 23 hingga 29 tahun berkata, beliau sedang menghasilkan sebuah novel baharu bertajuk ‘Lorong Syahadah’.

“Dengan izin Allah saya berharap mendapat ilham di Tanah Suci untuk menyambung penulisan saya. Bagi saya menulis bukan untuk keuntungan atau menjadi terkenal, tetapi kita menulis kerana Allah S.W.T.,” katanya yang juga anggota Persatuan Penulis Nasional (Pena).

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu ‘Menaruh Harapan’, Zaiton Sameon, 61, meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada perdana menteri yang sentiasa prihatin terhadap nasib penggiat seni di negara ini.

“Ini kali kedua saya menunaikan umrah, kali pertama pada tahun 1995. Program ini sangat bagus untuk membantu mereka yang kurang mampu untuk ke Tanah Suci,” katanya.

Zaiton yang kelihatan berkerusi roda akibat kecederaan pada kaki selepas tergelincir di dalam lif, berkata beliau ditemani pembantunya Che Sekah Ismail yang turut dipilih menyertai program tersebut.

Seorang lagi peserta program, Abdul Hamid Ab Rahman atau lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha, 85, berkata ramai artis veteran dan petugas belakang tabir yang hidup dalam serba kekurangan dan tidak mampu untuk mengerjakan umrah.

“Saya rasa bertuah betul kerana bukannya senang kita nak pergi sana terutamanya dari segi kos. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor yang juga Pengerusi Yayasan Perdana Ummah, berkata kesemua peserta terdiri daripada pelakon, penyanyi, penulis dan penggiat seni di belakang tabir yang dipilih berdasarkan keadaan kewangan dan kemampuan fizikal mereka.

“Kita menerima banyak permintaan dan jika dimurahkan rezeki kita akan teruskan program ini di masa-masa akan datang,” katanya.

Rizal berkata kumpulan pertama itu akan menunaikan umrah selama 12 hari sehingga 6 Feb selain turut melawat beberapa lokasi bersejarah serta mengikuti kuliah agama. — Bernama

Advertisement