Anda di sini

Pegawai MARA ditahan reman berkaitan kes salah guna kuasa

Advertisement
 Tiga individu termasuk seorang Pegawai MARA di Kuala Kubu Bharu direman tujuh hari bermulasemalam bagi membantu siasatan dakwaan pemberian kerja pembekalan barang keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan di Shah Alam. — Gambar Bernama
BANTU SIASATAN: Tiga individu termasuk seorang Pegawai MARA di Kuala Kubu Bharu direman tujuh hari bermulasemalam bagi membantu siasatan dakwaan pemberian kerja pembekalan barang keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan di Shah Alam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang pegawai MARA di Kuala Kubu Bharu, dekat sini direman  tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dakwaan pemberian kerja pembekalan barang keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan.

Turut direman bagi tempoh dan tujuan sama adalah anak lelakinya berumur 24 tahun dan seorang lagi lelaki iaitu pemilik sebuah syarikat berumur 40 tahun.

Majistret P. Sarulatha membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman ketiga-tiga suspek itu sehingga Khamis depan.

Ketiga-tiga individu terbabit tiba di kompleks mahkamah di sini kira-kira jam 10.30 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber SPRM kelmarin, kesemua suspek ditahan antara pukul 4.30 petang dan 7 malam di Pejabat SPRM Selangor.

Wanita berumur 48 tahun itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasanya dengan memberikan kerja-kerja pembekalan barang keperluan pelajar yang bernilai lebih kurang RM79,000 secara rundingan terus kepada anaknya melalui sebuah syarikat dimiliki rakan anaknya itu. — Bernama

Advertisement