Anda di sini

Dua pegawai imigresen seludup imigran didakwa

Advertisement

SEPANG: Dua pegawai imigresen semalam didakwa di Mahkamah Seksyen Sepang di sini atas tiga pertuduhan menyeludup masuk migran Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada akhir tahun lepas.

Abdul Faiz Hannan Ibrahim, 24, dan Adly Affandi Abdul Rahim, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said.

Abdul Faiz didakwa menjalankan kegiatan penyeludupan migran dikenali sebagai Abdul Momen di kaunter kawalan masuk udara, aras tiga balai ketibaan, KLIA antara jam 10 hingga 10.30 pagi, pada 20 Nov 2017.

Adly Affandi pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu menyeludup dua lelaki Bangladesh iaitu Md Mosarof Harith dan Ashabdul Haque di lokasi sama antara jam 8.30 dan 9.30 pagi pada 6 Dis 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan mahkamah membenarkannya.

Abd Faiz Hannan tidak diwakili peguam bela manakala Adly Affandy diwakili peguam Zafran Zafri Mohd Zaini.

Kedua-dua tertuduh ditahan sejak 17 Jan lepas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) (SOSMA). — Bernama

Advertisement