Anda di sini

Wanita nafi curi CCTV dibicara lanjut 14 Februari

Advertisement

SIBU: Seorang wanita berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri seunit kamera litar tertutup (CCTV) bernilai RM280.

Jessica Jelani turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan tidak menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan pihak polis.

Majistret Saiful Sayoti membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin RM1,000 berserta dua penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM2,500 berserta dua penjamin bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 14 Februari depan.

Bagi pertuduhan pertama, Jessica didakwa mencuri CCTV itu pada 15 Januari 2018, kira-kira jam 3.50 pagi di sebuah kedai di Jalan Market dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n), Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan pada 15 Januari 2018 kira-kira jam 7.50 malam di sebuah kedai di Jalan Market.

Berdasarkan laporan sebelum ini, seorang wanita iaitu tertuduh berjaya ditahan 16 jam kemudian selepas mencuri CCTV di bahagian luar sebuah kedai.

Suspek terdahulu ditahan pemilik kedai dan rakannya setelah mereka melakukan semakan rekod rakaman CCTV yang jelas menunjukkan wajah suspek.

Pemilik kedai dan rakannya itu kemudian bertindak mencari suspek di sekitar kawasan berkenaan sebelum terserempak dengannya lalu menahannya pada jam 7.45 malam.

Suspek kemudian dibawa balik ke kedai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen, seorang pemilik kedai menjual DVD dijatuhkan hukuman denda RM14,000 atau 14 bulan penjara atas dua tuduhan membekal DVD pelbagai tajuk tanpa label cakera optik.

Tertuduh yang dikenali sebagai Tan, 52, bagi pertuduhan pertama didakwa membekal 664 unit DVD pelbagai tajuk tanpa label cakera optik di sebuah premis di Jalan Pedada pada 8 Mac, 2012, kira-kira jam 1 petang.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membekalkan 758 unit DVD pelbagai tajuk tanpa label cakera optik di sebuah premis di Jalan Sanyan pada 26 Jun, 2012, kira-kira jam 1.20 petang.

Untuk kedua-dua pertuduan ini, Tan didakwa mengikut Perintah 4(4)(a), Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Advertisement