Anda di sini

Tiga sahabat mengaku tidak bersalah curi kereta

Advertisement

MIRI: Tiga sahabat masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri sebuah kereta kepunyaan seorang warga asing.

Awang Helmy Awang Chek, 43, dari Piasau Jaya Fasa 2, Muhammad Rusydi Ramlee, 23, dari Piasau Jaya Fasa 1 dan Robin Teo dari Jalan Terusan 8A Pujut 5 di sini didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sekiranya sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencuri sebuah kereta bernombor pendaftaran Brunei BAB88xx kepunyaan Lee Jia Yin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 3.25 pagi, 14 Januari lalu di tempat letak kenderaan berbayar Lapangan Terbang Miri.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 22 Februari depan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, ketiga-tiga tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement