Anda di sini

MoneyMatch bakal lancar produk Exchange, ekoran kejayaan Transfer

Advertisement
 Pengasas-pengasas MoneyMatch (dari kiri) Adrian Yap, Naysan Munusamy dan Ahmad Fazil Ahmad Fuad.
GANDINGAN MANTAP: Pengasas-pengasas MoneyMatch (dari kiri) Adrian Yap, Naysan Munusamy dan Ahmad Fazil Ahmad Fuad.

KUCHING: MoneyMatch, syarikat teknologi kewangan tempatan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia berhasrat mengembangkan operasi dan menjalin kerjasama di seluruh Malaysia sepanjang tahun ini.

 Perkhidmatan pertama MoneyMatch, ‘Transfer’ mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada pengguna individu dan perniagaan yang menghantar wang ke luar negara atau membayar invois dalam mata wang asing daripada pembekal antarabangsa, dengan jumlah transaksi mencecah RM35 juta dalam tempoh tiga bulan.

 Pengasas dan CEO Adrian Yap berkata sejak pelancaran produk MoneyMatch Transfer pada 30 Oktober 2017, pihaknya amat berbesar hati terhadap komen dan ulasan yang diterima daripada para pengguna MoneyMatch.

 “Jumlah transaksi kami yang kian meningkat juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersedia untuk mencuba teknologi kewangan baharu untuk memperolehi nilai penjimatan dan mempermudahkan transaksi kewangan seperti pemindahan wang ke luar negara,” katanya.

 Pelanggan mereka, sebuah syarikat pelancongan antarabangsa berkonsep pengembaraan halal berupaya menjimatkan kos RM2,000 sebulan apabila menggunakan servis Fintech untuk melakukan transaksi membayar invois dari luar negara melalui MoneyMatch.

 MoneyMatch kini dalam proses melancarkan perkhimatan inovatif kedua mereka ‘MoneyMatch Exchange’.

 Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan menukar mata wang asing pada kadar pertengahan jika melancong ke luar negara.

 Perkhidmatan ‘Exchange’ pada masa sekarang hanya dibuka untuk tukaran mata wang Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura, tetapi bakal diperluaskan kepada mata wang terkemuka lain dalam tempoh masa beberapa bulan lagi.

 Pengasasnya, Naysan Munusamy berkata MoneyMatch diilhamkan apabila pihaknya percaya aplikasi teknologi akan membawa penjimatan kepada rakyat Malaysia dalam urusan kewangan mereka pada masa depan.

 Penglibatan Bank Negara Malaysia dalam tadbir urus dan pembangunan sektor teknologi kewangan melalui Financial Technology Enabler Group (FTEG) telah memberi impak positif yang mendalam terhadap perkembangan MoneyMatch dan juga keyakinan terhadap industri Fintech secara amnya di negara ini.

 MoneyMatch dijangka akan lebih giat memasarkan perkhidmatannya di serata bandar utama seperti George Town, Ipoh, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu sepanjang 2018.

 Ia adalah selaras dengan objektif pengasas syarikat, Adrian dan Naysan, yang ingin memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk menggunakan teknologi MoneyMatch bagi memperolehi penjimatan kos apabila melakukan transaksi kewangan seperti pemindahan wang dan pembayaran invois luar negara.

 Pejabat MoneyMatch terletak di Unit 5.01, Menara LGB, 1 Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

 Sila layari www.moneymatch.co atau hubungi 03-27716284 untuk pertanyaan lanjut.

Advertisement