Anda di sini

Sepasang kekasih nafi terbabit rompakan berkumpulan

Advertisement

MIRI: Sepasang kekasih masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan.

Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh ketiga Koo Shin Yu kerana gagal hadir di mahkamah dan memerintahkan waran tangkap tersebut dikembalikan pada 2 Februari depan.

Lau Ling Moi, 39, dari Jalan Kuching, Taman Tunku dan teman lelakinya, Jimmy Apoi, 39, dari Long Selat, Ulu Baram serta Koo, 42, dari Lorong 3, Jalan Kuching di sini didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan merompak dua unit telefon bimbit daripada Norlia Arfan, 27, dan Abang Hairul Azman Hassan, 32.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang, 6 Januari tahun ini di sebuah lot di Kampung Lusut Jaya 1, Taman Tunku di sini.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa ASP Koay Kok Ping memohon ditetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Hakim Steve Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan 2 Februari depan untuk pengurusan kes dan perbicaraan pula ditetapkan pada 18 hingga 22 Jun tahun ini.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan tunai masing-masing RM10,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement