Anda di sini

Curi kabel SESCO, penganggur kena enam bulan

Advertisement

MIRI: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan mencuri kabel elektrik kepunyaan Syarikat SESCO Berhad.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Larry Thou Shen Lung, 37, dari Lutong Baru, di sini didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didapati mencuri kabel elektrik bernilai RM3,000 kepunyaan SESCO.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 6.20 pagi hingga 6.55 pagi, 15 Januari lalu di kaki lima sebuah rumah kedai di Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Advertisement