Anda di sini

Masya Masyitah kembali dengan single baharu ‘Mawar Terbiar’

Advertisement
Masya Masyitah
Masya Masyitah

SELEPAS hampir tiga tahun menyepi, penyanyi kecil molek bersuara lantang yang berasal dari Kulim, Kedah dan merupakan juara Ceria Popstars 2014, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, 17, atau lebih dikenali dengan nama komersial Masya Masyitah muncul dengan single terbaharu.

Lebih dewasa dan sedikit lari daripada imej kebiasaan, Masya kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Mawar Terbiar’ hasil ciptaan penyanyi serta penulis lirik terkenal Akim Ahmad atau nama penanya Hang Nadim dengan komposer disegani Laq.

Pada tahun lepas, Masya berjaya mengharumkan nama Malaysia setelah dinobatkan pemenang tempat kedua bagi kategori vokal sewaktu bertanding di Hong Kong International Music Festival 2016 selepas menyanyikan lagu ‘Ni Bu Zhi Dao De Shi’ oleh penyanyi popular Hong Kong Wang Lee Hom selain fasih dan mahir bertutur dalam bahasa Mandarin kerana mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Chio Min, Kulim, Kedah.

Menurut Masya, single ‘Mawar Terbiar’ sejujurnya tiada apa signifikasi dengan dirinya mahupun pengalaman lepas tetapi kerana tuntutan kerja dia harus menyelami perasaan seorang wanita yang ditinggalkan kekasih dan dibiarkan begitu saja setelah seluruh jiwa dan raga telah diserahkan kepada kekasihnya.

Namun begitu, saya nasihatkan kepada para wanita di luar sana supaya lebih berhati-hati apabila bercinta sebelum mengenali hati budi seseorang agar sentiasa bersedia dengan apa jua yang bakal terjadi supaya tidak terlalu kecewa dan patah hati dikemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Masya lagi, proses rakaman single ‘Mawar Terbiar’ mengambil masa selama sehari untuk disempurnakan dan banyak pengalaman yang dia timba.

Banyak pengalaman yang saya timba sewaktu bekerjasama dengan Akim dan juga Laq kerana mereka memberi tunjuk ajar serta feel yang diperlukan dalam menyampaikan ‘Mawar Terbiar’ supaya kendengaran telus dan menusuk ke jiwa,” kata Masya.

Saya juga amat teruja apabila Rocketfuel Entertainment mempelawa saya untuk menjadikan saya sebahagian daripada keluarga besar mereka kerana seluruh ‘team’ sangat mengambil berat tentang perkembangan saya dan sentiasa menyokong kerjaya saya,” kata Masya lagi.

Untuk tahun 2018 ini, Masya berharap semoga single ‘Mawar Terbiar’ diterima ramai dan bakal menjadi hit sambil menambah bahawa dia tidak sabar untuk menjayakan rangka promosi yang bakal dijalankan di seluruh Malaysia.

Menurut Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records, “Walaupun Masya masih baru dalam industri muzik Malaysia, saya percaya dengan bakat nyanyian beliau bukan sahaja dalam bahasa melayu tetapi juga kebolehan beliau menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin yang amat mengagumkan serta mendapat pujian ramai daripada rakyat Malaysia termasuklah yang berbangsa Cina. Ini menunjukkan penerimaan baik tentang cara nyanyian dan paling penting setiap patah perkataan yang disebutkan kedengaran jelas dan tidak kekok.

Saya berharap agar ‘Mawar Terbiar’ menjadi permulaan bagi kerjaya Masya dan berharap lagu ini dapat diterima ramai sebelum beliau mengorak langkah dan melangkau lebih jauh bukan saja di Malaysia bahkan negara Cina.”

Lagu ‘Mawar Terbiar’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu ‘Mawar Terbiar’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Advertisement