Anda di sini

Diane Kruger khuatir perubahan di Hollywood tidak bertahan lama

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 11 Januari 2018 menunjukkan Diane Kruger (kiri) tiba bersama Norman Reedus di acara Critics’ Choice Awards yang ke-23 di Santa Monica, California. Kruger baru-baru ini berkata bahawa pergerakan #MeToo telah menakutkan lelaki berkuasa tetapi dia khuatir perubahan itu mungkin tidak lama. — Gambar Reuters
KHUATIR: Gambar fail bertarikh 11 Januari 2018 menunjukkan Diane Kruger (kiri) tiba bersama Norman Reedus di acara Critics’ Choice Awards yang ke-23 di Santa Monica, California. Kruger baru-baru ini berkata bahawa pergerakan #MeToo telah menakutkan lelaki berkuasa tetapi dia khuatir perubahan itu mungkin tidak lama. — Gambar Reuters

AKTRES Hollywood Diane Kruger baru-baru ini berkata bahawa pergerakan #MeToo telah menakutkan lelaki berkuasa tetapi dia khuatir perubahan itu mungkin tidak lama.

 Bintang kelahiran Jerman itu, yang memenangi anugerah aktres terbaik pada Mei lalu di Festival Filem Cannes untuk ‘In the Fade’ – yang diramal dengan hangat akan menerima pencalonan bagi anugerah Oscar dalam kategori filem asing terbaik – memberitahu televisyen Perancis bahawa dia tidak pernah menerima bayaran sebanyak bintang lelaki lain yang berlakon bersamanya.

 Namun dia menegaskan perubahan berkekalan hanya dapat dilakukan dengan bantuan kaum lelaki.

 Kruger berkata kemajuan yang dibuat berhubung gangguan sejak skandal serangan seksual Harvey Weinstein menggegarkan Hollywood mungkin ilusi sahaja jika budaya tidak berubah bersamanya.

 “Buat masa sekarang ia sedang berubah kerana kaum lelaki takut,” kata aktres itu, yang mencipta nama pada peringkat antarabangsa dengan filem arahan Quentin Tarantino ‘Inglourious Basterds’ pada 2009.

 “Setiap hari terdapat orang baharu yang dikecam (sebagai pencabul),” katanya kepada BFMTV.

 “Bagaimanapun, saya takut dalam masa enam bulan lagi, atau setahun, atau malah 10 tahun, kita akan masih mendengar perkara yang sama.”

“Ia mesti ditamatkan – keadaan perlu berubah dan semua orang perlu bersuara supaya kita dapat cuba melangkah ke hadapan, bukan hanya dari segi seksualiti sahaja, tetapi dalam cara kita dibayar.

 “Saya tidak pernah diberi bayaran yang sama dengan lelaki yang berlakon di samping saya. Itu tidak betul,” katanya.

 “Kita perlu sentiasa berjaga-jaga, dan kaum wanita perlu bersatu padu untuk perjuangan ini.

” Namun Kruger, 41, berkata kaum lelaki perlu menyertai kaum wanita untuk membawa perubahan budaya yang tulen.

 “Paling utama sekali kita memerlukan kaum lelaki di pihak kita yang berjuang untuk kita dan mempertahankan kepentingan kita.

 Kaum wanita sahaja tidak dapat mengubah keadaan,” ujarnya.

 Kruger berlakon sebagai seorang balu yang mahu membalas dendam dalam filem aksi arahan Fatih Akin yang berlatarbelakangkan Hamburg, ‘In the Fade’, yang pada minggu lepas memenangi filem asing terbaik di Anugerah Critics’ Choice, yang cenderung menjadi peramal paling tepat bagi pencalonan Oscar.

 — AFP

Advertisement