Anda di sini

RELA buat laporan polis, mohon Shafie minta maaf secara terbuka

Advertisement
 Bakry (dua kiri) dan Jafrin menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Kinabalu pada Rabu.
TIDAK WAJAR: Bakry (dua kiri) dan Jafrin menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Kinabalu pada Rabu.

KOTA KINABALU: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah di sini memohon agar Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal memberikan permohonan maaf secara terbuka selepas mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar terhadap jabatan itu.

Pemangku Pegawai RELA Daerah Kota Kinabalu PgR Mohd Bakry Mohd Baily berkata anggota RELA kini tidak hanya terikat kepada satu penugasan sahaja berikutan sebelum ini pihaknya sudah membuktikan banyak kejayaan dalam tugas yang diamanahkan.

“Kita sudah membuktikan banyak kejayaan dalam penugasan selepas mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan dan pemimpin di negara ini.

“Begitu juga halnya jika anggota RELA diberi tugas tertentu di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) kerana kita mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang sudah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Bakry berkata SOP terbabit antara lain adalah bagi memastikan penugasan dijalankan dengan baik dan selamat.

“Tidak semestinya jika anggota kita diletakkan di ESSZone kita meletakkan nyawa anggota dalam keadaan bahaya,” katanya.

Menurutnya sebagai salah seorang pemimpin Shafie sepatutnya tidak merendahkan skop penugasan RELA berikutan pihaknya ada menjalankan latihan khas sebelum ditugaskan di sesebuah kawasan.

“Setakat ini, kita sudah banyak mencatatkan kejayaan dalam penugasan dan ia turut memberi impak positif kepada kerajaan.

“Beliau (Shafie) sepatutnya memberi peluang kepada kami dan menegur dengan cara yang lebih wajar jika bertujuan menambah baik sebarang kelemahan yang ada di dalam jabatan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Kanan RELA Hakim Besar Kota Kinabalu PgR Jafrin Yasin berkata beliau mewakili 105 anggota RELA Kota Kinabalu membuat laporan polis kali kelima agar tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan segera.

“Kami meminta Shafie memberikan permohonan maaf secara terbuka kepada anggota RELA khususnya di Sabah selepas mengeluarkan kenyataan tidak wajar sepertimana yang ditularkan baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 20 saat tular di media sosial  menunjukkan Shafie berucap dengan mengatakan: “Pasal RELA yang jaga kawasan ESSZone di pantai timur, orang RELA mana pandai pakai senapang, tidak tahu menembak, tidak belajar macam mana pakai bom yang dia tahu kalau ada kenduri dia jaga trafik’.

Advertisement