Anda di sini

Keadaan masih terkawal

Advertisement
 Salah satu kenderaan yang terpaksa berpatah balik kerana jalan raya tidak dapat dilalui. — Gambar ihsan TR Mawar Awang
TERPUTUS HUBUNGAN: Salah satu kenderaan yang terpaksa berpatah balik kerana jalan raya tidak dapat dilalui. — Gambar ihsan TR Mawar Awang

MUKAH: Belum ada pemindahan dilaporkan di kawasan Tanjong Pedada kerana banjir masih dalam keadaan terkawal.

Pegawai Tadbir Daerah Mukah Bujang Rahman Seli berkata, setakat ini hanya 16 rumah panjang dan sebuah sekolah terjejas di kawasan dimaksudkan.

“Sehingga petang ini (semalam) tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan kerana keadaan tidak kritikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo selesai mesyuarat semalam.

Menurutnya, ketinggian air dari tebing sungai setakat pemantauan sehingga petang semalam cuma 0.3 meter hingga 0.6 meter beradasarkan lokaliti kawasan rumah-rumah panjang.

“Di Sekolah Kebangsaan (SK) Kenyana, ketinggian air dari paras tanah adalah 1.3 meter,” jelasnya sambil memberitahu, air semakin surut.

 Antara rumah panjang yang terjejas akibat banjir di Tanjong Pedada.
PUTUS HUBUNGAN: Antara rumah panjang yang terjejas akibat banjir di Tanjong Pedada.

Sementara itu, mengenai penghantaran bantuan, pihak jawatankuasa bencana memutuskan untuk menghantar bantuan makanan berupa pek makanan asas.

“Satu pek bernilai RM75 dan boleh digunakan seorang atau dua mangsa banjir,” ujarnya.  

Bantuan berkenaan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan akan dihantar sesegera mungkin.

Ketika ditanya jumlah pek makanan yang akan dihantar, beliau memberitahu, ini bergantung kepada bilangan penduduk yang terjejas.

Jalan raya di Tanjong Pedada tidak dapat dilalui kerana banjir sejak 12 Januari lalu, menyebabkan 265 pintu rumah panjang, sebuah kampung dan dua sekolah terputus hubungan.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk di kawasan Tanjong Pedada di sini menagih simpati pihak kerajaan supaya menaik taraf jalan raya di kawasan mereka supaya tidak lagi ditenggelami banjir.

Salah seorang penduduk, Tuai Rumah (TR) Mawar Awang berkata, jalan raya sepanjang satu kilometer itu kerap banjir sejak siap lebih sepuluh tahun lalu.

“Setiap kali musim banjir, kami di sini akan terputus hubungan jalan raya di kawasan dimaksudkan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, jalan raya di kawasan itu telah dinaik taraf beberapa tahun lalu namun belum cukup tinggi dan masih ditenggelami air.

“Perlu ditambah kemungkinan setinggi 1.5 meter di sepanjang kawasan jalan raya, baharulah ia tidak akan ditenggelami air,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, jalan raya berkenaan tidak dapat dilalui iaitu sejak 12 Januari lalu, malah masih ditenggelami air setinggi empat kaki petang semalam.

Mengenai perkembangan banjir, beliau memberitahu air menunjukkan trend menaik sehingga petang semalam.

 Anggota penyelamat mengadakan rondaan di kawasan banjir.
PANTAU: Anggota penyelamat mengadakan rondaan di kawasan banjir.

Sementara itu, Mawar turut meminta talian komunikasi di kawasan tersebut dinaik taraf.

“Sukar untuk kita berhubung dengan dunia luar dan melaporkan apa yang berlaku tanpa kemudahan talian (Internet dan telefon),” tambahnya.

Kawasan Tanjong Pedada terdiri daripada 18 rumah panjang, dua sekolah kebangsaan dan sebuah kampung.

  • oleh
  • Advertisement