Anda di sini

Pekebun sokong, miliki bahan berkaitan Daesh dipenjara lapan tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh, tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Zefrul Hashim, 40, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah ketika sebutan kes itu semalam.

Tertuduh dihukum penjara lapan tahun bagi pertuduhan memberi sokongan manakala bagi pertuduhan memiliki bahan berkaitan pengganas, dia dihukum penjara tiga tahun dan mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Mac 2017.

Azman dalam penghakimannya berkata mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius termasuk menyimpan gambar orang disembelih dan ditembak hingga pecah kepala.

Kalau ada ibu bapa dan keluarga jangan bagi alasan nak pergi berjihad, jagalah mereka kerana perkara itu yang paling utama. Allah dah janji siapa yang menjaga ibu bapa dan keluarga dijamin masuk syurga,” kata hakim itu.

Zefrul didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan Abu Sayyaf dengan cara menggalakkan atau mendorong seorang individu yang dikenali dengan nama ‘Zahra Alisha’ untuk meninggalkan Malaysia bagi menjalankan aktiviti kumpulan pengganas melalui perbualan dalam aplikasi media sosial Facebook Messenger atas nama ‘Abu Qaqa’.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Tingkat Perpaduan 22, Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, antara 18 Februai dan 9 Mac 2017 mengikut Seksyen130J(1)(a) Kanun Keseksaan  dan dihukum di bawah Subseksyen 130J(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, Zefrul didakwa memiliki 109 keping gambar dan 116 video di dalam telefon bimbit miliknya, di mana kesemua item itu mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan pengganas Daesh pada jam 3.50 petang, 6 Mac 2017 di tempat sama.

Pertuduhan mengikut 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan item boleh dilucut hak. — Bernama

Terdahulu, Zefrul yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Saya benar-benar menyesal dan mohon maaf kepada mahkamah, saya tidak berniat melakukan kesalahan itu. Saya tidak mahu lagi mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan oleh tertuduh.

Mengikut fakta kes, pihak polis telah menjumpai 116 video dan 109 keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam sebuah telefon bimbit milik tertuduh ketika dia ditangkap pada 16 Mac 2017.

 Pemeriksaan ke atas telefon bimbit itu turut menjumpai satu perbualan yang dipercayai menjurus ke arah perbuatan menyokong kumpulan pangganas, di mana tertuduh telah menyatakan hasrat untuk pergi berjuang selain mempunyai hubungan dengan militan Abu Sayyaf dan turut mengajak Zahra Alisha ke Basilan, Filipina.

Keterangan saksi terlindung turut mengesahkan tertuduh berhasrat untuk berhijrah ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di sana, namun dia menukar fikiran untuk ke Basilan, Filipina kerana kos perjalanan lebih rendah dan ingin mati syahid cepat susulan berlaku peperangan antara tentera Filipina dan Abu Sayyaf ketika itu. — Bernama

Advertisement