Anda di sini

Masyarakat perlu pertingkat tahap kesedaran sivik: Lee

Advertisement

Aspek moral, etika, akhlak perlu seiring pembangunan negara

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran sivik yang rendah dan sikap kurang bertanggungjawab mendorong segelintir masyarakat bertindak sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata dalam usaha Malaysia menuju negara maju, seharusnya aspek moral, etika dan akhlak dalam kalangan masyarakat perlu seiring dengan pembangunan negara.

Apa yang membimbangkan pada hari ini, kita sudah melupakan perkara asas iaitu aspek pendidikan, aspek nilai murni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Banyak kejayaan dikecapi oleh negara ketika ini terutama kemajuan dari segi sains dan teknologi, namun nilai moral dan sahsiah diri dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian yang meragut nyawa remaja lelaki S. Sathiwaran, 15, akibat dihempap sebuah kerusi pejabat dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri Blok 102, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini.

Biarpun sebelum ini banyak kes seperti membuang sampah-sarap dan pasu bunga ke bawah berlaku di kawasan kediaman awam terutama melibatkan bangunan tinggi sehingga menyebabkan kecederaan dan ada yang kehilangan nyawa, masyarakat masih lagi kurang mengambil iktibar kesannya.

Kesal dengan kejadian menimpa nasib remaja itu, Lee berkata kejadian itu boleh dielakkan sekiranya penghuni pangsapuri berkenaan mengamalkan sikap bertanggungjawab dan tidak memandang ringan dengan tahap keselamatan sehingga boleh mengundang padah kepada orang lain.

Bagi mengelakkan kejadian itu berulang, aktivis masyarakat itu berkata persatuan penduduk harus memainkan peranan dalam melibatkan diri melakukan sesuatu aktiviti dan program untuk mendidik masyarakat mencapai nilai-nilai murni dan bertanggungjawab.

Selain itu, katanya pendidikan di sekolah dan institusi kekeluargaan perlu dipertingkat untuk menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama kepada golongan muda.

Setiausaha Persatuan Penduduk PPR Kg Limau, Lembah Pantai Rosli Atan, yang senada dengan Lee berkata persatuan penduduk harus memainkan peranan penting untuk menjalankan aktiviti dan program bercirikan keselamatan kepada penduduk setempat.

Kami banyak menganjurkan program berkenaan lima hingga enam kali setahun dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta penglibatan pasukan keselamatan seperti polis dan bomba kepada masyarakat di sini,” kata Rosli.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel semalam, Lee berkata aspek pendidikan perlu ditekankan dalam memberi kesedaran kepada penduduk yang mendiami kediaman bertingkat agar lebih bertanggungjawab dan prihatin dalam hidup bermasyarakat.

Katanya, pendidikan penting dalam mentransformasikan minda penduduk  yang mendiami kawasan berkenaan terutama di PPR.

Lee juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih agresif dalam meningkatkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan juga isu keselamatan di PPR.

Dalam perkembangan lain mengenai peningkatan kes juvana, Lee menegaskan institusi kekeluargaan juga penting dan perlu diperkukuhkan dalam membina benteng yang kuat dan kukuh untuk membentuk belia menjadi insan yang berwibawa, berintegriti dan berakhlak.

Pada saya tiada alasan untuk ibu bapa tidak dapat meluangkan masa bersama dengan anak-anak mereka. Memang menjadi satu cabaran kepada ibu bapa pada masa kini tetapi dapat luangkan masa berkualiti dalam 15 hingga 20 minit cukup untuk mereka bertanyakan mengenai masalah, isu anak-anak mereka. Mereka perlu tunjukkan minat kepada anak-anak mereka sendiri,” tambahnya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan indeks jenayah juvana daripada Polis Diraja Malaysia yang meningkat 9.4 peratus kepada 8,740 kes pada 2017 berbanding 7,985 kes pada 2016. — Bernama

Advertisement