Anda di sini

Mahkamah Rayuan kekal denda RM1,500 ke atas ADUN Seri Setia

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan denda RM1,500 diputuskan Mahkamah Tinggi ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bagi kesalahan menganjurkan perhimpunan ‘Black 505’ tanpa permit pada 2013.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menaikkan jumlah denda itu.

Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu berkata tiada sebarang merit dalam penghujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya  K. Mangai.

Denda RM1,500 diputuskan Mahkamah Tinggi tidak semestinya tidak memadai,” katanya.

Beliau berkata Nik Nazmi, sebagai wakil rakyat yang dipilih, tidak sepatutnya bertindak membelakangkan undang-undang.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Nik Nazmi layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang. Kelayakan beliau untuk bertanding dalam PRU14 akan terlucut sekiranya denda dinaikkan kepada lebih RM2,000.

Perkara  64(1)(e) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menetapkan seseorang itu lucut kelayakan sebagai ADUN sekiranya beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang daripada setahun dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 tanpa mendapat pengampunan. — Bernama

Advertisement