Anda di sini

Lelaki dan wanita terjerat kes salah guna dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret dalam dua kes berasingan masing-masing atas tuduhan terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Leong Chia Chee, 28, dari Taman Hilltop dan Rosline Mathew, 21, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Sabit kesalahan, mereka berdepan denda hingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan dikehendaki menjalani pengawasan pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952

Dalam kes pertama, Leong dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.35 petang, 7 September 2017 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Manakala dalam kes kedua, Rosline didakwa melakukan kesalahan serupa dengan menggunakan dadah jenis sama tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada jam 1.45 petang, 7 September 2017 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan lanjut kedua-dua kes itu.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement