Anda di sini

Jangan sewenang-wenangnya bocor rahsia kerajaan: Ketua Polis Kelantan

Advertisement

KOTA BHARU: Rahsia kerajaan tidak harus sewenang-wenangnya dibocorkan kerana pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menggunakannya untuk memporakperandakan negara, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata, setiap maklumat yang diberikan itu kemungkinan akan dimanipulasi pihak terbabit sehingga boleh mencetuskan masalah kepada negara.

Kita tidak akan selamat apabila sesuatu maklumat itu sampai kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi dan Anggota Jawatankuasa Daerah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, malam kelmarin.

Pada majlis sama turut diadakan Penyampaian Watikah Pelantikan Skuad Muda JPJ Negeri Kelantan dan Parlimen kepada 13 wakil yang disampaikan oleh Pengerusi Skuad Muda JPJ Malaysia, Datuk Seri Ismail Ahmad serta Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapha.

Hasanuddin berkata, wujudnya pelbagai jenis kemudahan media dan gajet elektronik sekarang, semua orang mudah menerima maklumat yang belum sahih termasuk berita fitnah dan boleh menjatuhkan individu lain.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata polis Kelantan amat terharu dan berbangga dengan kerjasama serta inisiatif yang dilakukan MCPF dalam membantu mencegah jenayah, khususnya di Kelantan.

Katanya walaupun tugas yang dijalankan hanyalah sukarela namun komitmen setiap anggota adalah amat penting dalam membantu membasmi dan mengurangkan indeks jenayah.

Mengenai kewujudan dadah ‘zombie’ atau Flakka di sini, Hasanuddin berkata setakat ini polis Kelantan masih belum menerima sebarang maklumat atau tangkapan membabitkan dadah ber-kenaan.

Namun begitu, beliau berkata, seandainya orang ramai ada maklumat berkaitan boleh melaporkan kepada pihak polis kerana dadah berkenaan dikatakan amat berbahaya yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi berani, amat agresif dan berkelakuan seperti kurang siuman. — Bernama

Advertisement