Anda di sini

Chen Long tersingkir awal pada Masters Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain nombor empat dunia, Chen Long terpaksa akur tersingkir awal pada saingan Perodua Masters Malaysia selepas tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada pusingan pertama kejohanan berkenaan yang berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, di sini semalam.

 Pemain Indonesia itu tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan mudah menewaskan Chen Long; 21-17, 21-15 dalam tempoh 43 minit permainan.

 Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Chen Long yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, berkata beliau sangat kecewa dengan prestasi buruknya itu pada kejohanan pertama tahun ini.

 “Permainan saya tidak begitu baik hari ini. Saya sangat kecewa dengan prestasi saya pada kejohanan pertama tahun ini. Selain itu, saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai pukulan servis,” katanya.

 Sementara itu, Anthony berkata kemenangannya itu adalah permulaan baik bagi tahun ini dan berharap lebih konsisten sepanjang minggu ini.

 Beliau berkata kemenangan ke atas Chen Long bukan satu kejayaan yang besar kerana beliau pernah mengalahkan pemain itu pada tahun lepas.

 “Saya sangat berpuas hati dapat mengalahkan Chen Long. Mungkin saya main tiada tekanan, saya juga pernah kalahkan beliau tahun lepas, memang peluang itu ada. Jadi saya hanya buat yang terbaik dan fokus di gelanggang.

 “Chen Long juga banyak melakukan kesilapan, permainan beliau hari ini kurang bagus. Saya percaya ini bukan permainan sebenar beliau,” kata Anthony.— Bernama

Advertisement