Anda di sini

Sediakan lebih banyak rumah mampu milik

Advertisement
 Sahar (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, Sandakan.
PRIHATIN: Sahar (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, Sandakan.

SANDAKAN: PAS Sabah mencadangkan agar pihak kerajaan menyediakan lebih banyak rumah kos rendah mampu milik dan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Ia penting bagi memastikan seluruh rakyat yang berkelayakan terutama mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perumahan atas air dapat memiliki rumah yang lebih selesa dan selamat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah Sahar Abdul Majid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden kebakaran di Kampung Sundang Laut yang melibatkan 78 keluarga, di sini.

Beliau bersama Ketua Muslimat PAS Sabah merangkap Naib Yang Dipertua Batu Sapi Norsah Bongsu sudah beberapa kali datang menghulurkan bantuan kebajikan kepada mangsa terlibat.

Terbaharu, mereka menyerahkan sumbangan kebakaran seperti telekung solat, beg sekolah, lampin bayi dan lain-lain.

“Apa yang berlaku hari ini, apabila rakyat ditimpa musibah seperti kebakaran, mereka tidak mempunyai tempat tinggal, bahkan ada antara mereka yang terpaksa tinggal di bangsal-bangsal buruk dan seumpamanya untuk berlindung. Ini amat menyedihkan,” katanya.

Menurut beliau, insiden seperti itu amat memeritkan kerana mangsa yang terbabit bukan sahaja hilang tempat tinggal dan barang-barang berharga, bahkan menimbulkan banyak masalah kepada mangsa untuk meneruskan kehidupan.

“Pihak berkuasa tahu kawasan setinggan ini tidak sah dari sudut penempatan perumahan sebab itu mereka yang terbabit tidak dibenarkan mendirikan semula rumah mereka yang telah hangus terbakar,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan.

Menurut beliau, kejadian seumpama itu sudah kerap berlaku di seluruh Sabah dengan melibatkan ratusan rumah atas air.

Katanya, pihak berkuasa yang sudah tentu menyedari hal itu, perlu mengambil tindakan wajar agar mereka tidak lagi tinggal di kawasan setinggan yang berisiko tinggi.

Sahar berkata, kegagalan pihak berkuasa menyediakan perumahan rakyat atau rumah kos rendah yang mencukupi dan mampu milik menyebabkan mereka tiada pilihan melainkan mendirikan rumah semula di kawasan itu.

“Bagi kami, pilihan terbaik selain mewujudkan rumah mampu milik dan PPR ialah menyusun semula perumahan atas air dengan lebih sistematik dengan mengambil kira soal keselamatan dan keselesaan.

“Ini adalah sebahagian daripada keutamaan kerana ia juga mampu menjadi tarikan pelancong di negeri ini,” jelasnya.

Advertisement