Anda di sini

Feri: Kudat ‘pintu masuk’ empat tapak warisan dunia

Advertisement
 ‘Tip of Borneo’ di Simpang Mengayau dekat Kudat, bukan sahaja cantik malah dipercayai memiliki banyak khazanah nilai sejarah termasuk kapal-kapal lama yang karam di kawasan perairan berkenaan yang semestinya berpotensi menjadi produk pelancongan khususnya untuk aktiviti menyelam. — Gambar Bernama
MEMPESONA: ‘Tip of Borneo’ di Simpang Mengayau dekat Kudat, bukan sahaja cantik malah dipercayai memiliki banyak khazanah nilai sejarah termasuk kapal-kapal lama yang karam di kawasan perairan berkenaan yang semestinya berpotensi menjadi produk pelancongan khususnya untuk aktiviti menyelam. — Gambar Bernama

PERKHIDMATAN feri menghubungkan Kudat dan Palawan di Selatan  Filipina, bakal menjadikan daerah paling utara di Sabah itu sebagai ‘pintu masuk’ empat Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sabah, Sarawak dan Filipina.

Operasi perkhidmatan feri yang sedia dilaksanakan pada bila-bila itu akan membuka laluan kunjungan rakyat Filipina, Sabah, Sarawak dan wilayah Kalimantan, Indonesia ke Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu (Sabah), Gunung Mulu (Sarawak) dan Tubbataha Reefs Natural Park dan Puerto Princesa Subterranean River National Park (Palawan, Filipina).

Dengan adanya kemudahan perkhidmatan feri itu juga, ia bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pengembangan industri pelancongan di Kudat malah akan membawa limpahan ekonomi lain dalam sektor pertanian, perikanan, makanan, perniagaan, perhotelan, kebudayaan dan pelbagai lagi.

“Memang orang sini menantikan pelancaran perkhidmatan feri Kudat-Palawan ini. Kudat boleh menjadi pintu masuk ke Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia. Perkhidmatan feri ini boleh menggalakkan pewujudan perjalanan dua hala Sabah dan Filipina,” kata Sapdin Ibrahim, Pegawai Daerah Kudat kepada Bernama.

Menurut Sapdin, selain berkapasiti membawa sehingga 270 penumpang  pada satu-satu perjalanan, feri berkenaan juga boleh membawa 30 kereta dan 10 lori, sekali gus memberi pilihan kepada rakyat Sabah dan Filipina sama ada untuk membawa kenderaan atau sebaliknya.

Malah katanya, perkhidmatan feri berkenaan juga akan membuka ruang kepada penggemar motosikal berkuasa tinggi dari kepulauan Borneo untuk melakukan penjelajahan ke Selatan Filipina melalui Palawan hingga ke Manila melalui Kudat yang merupakan ibu negeri pertama Sabah (North Borneo Company).

Menurut Sapdin perkhidmatan feri yang sudah sekian lama diperjuangkan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Kapor Datuk Teo Chee Kang itu sememangnya selari dengan agenda Kudat untuk menjadikan daerah itu sebagai ikon pelancongan bukan sahaja di Sabah dan negara ini malah serantau.

Katanya, berdasarkan prestasi Kudat dalam menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara sejak tahun 2015, daerah itu dijangka dikunjungi antara 200,000 hingga 250,000 pelancong pada tahun ini.

Sapdin berkata pada tahun 2017, jumlah pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Kudat kira-kira 182,000 orang berbanding 128,000 pada tahun sebelumnya yang didorong oleh pelaksanaan dan penganjuran lebih 50 program seperti dalam kalendar Tahun Melawat Kudat 2016/2017.

“Sememangnya Kudat memiliki sumber alam semula jadi menarik yang berupaya menggamit kedatangan pelancong.

Kudat memiliki banyak pantai yang cantik seperti Pantai Simpang Mengayau, Pantai Simpang Mengayau Baharu, Pantai Bak Bak, Pantai Kelambu, Pantai Pasir Hitam, Pantai Tanjung Bangau, Pantai Terongkongan, Pantai Tindakon Dazang, Pantai Pulau Balambangan dan Pantai Maliangin.

“Tip of Borneo’ (hujung Pulau Borneo paling utara) di Simpang Mengayau pun di Kudat.

Simpang Mengayau bukan sahaja cantik malah dipercayai memiliki banyak khazanah nilai sejarah termasuk kapal-kapal lama yang karam kawasan perairan berkenaan yang semestinya berpotensi jadi produk pelancongan khususnya untuk aktiviti selaman,” katanya.

Sapdin berkata, Taman Marin Tun Mustapha seluas 898,762.76 hektar turut melibatkan daerah Kudat selain Kota Marudu dan Pitas yang merupakan taman laut terbesar di negara ini bakal menjadi destinasi menarik bagi peminat aktiviti selaman seperti dikecapi daerah Semporna.

Katanya pihaknya sudah memohon RM15 juta kepada kerajaan untuk menaik taraf Simpang Mengayau manakala Muzium Tun Mustapha dengan kos RM7 juta yang bakal menempatkan bahan-bahan sejarah Kudat dan pejuang  kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun kini dalam pembinaan.

“Kudat adalah antara lokasi sukan luncur ombak terbaik di Sabah. Kudat juga menawarkan produk pelancongan lain seperti kemudahan padang golf, pusat industri desa seperti lukisan batik dan pembuatan manik serta produk makanan seperti restoran makanan laut segar serta makanan berasaskan pertanian,” katanya lanjut.

Menurutnya, kepelbagaian etnik yang terdapat di Kudat memberi ruang kepada pengunjung untuk menyaksikan keunikan dan keindahan budaya dari aspek makanan, pakaian dan seni etnik-etnik berkenaan.

“Penduduk Kudat sudah bersedia menerima kehadiran pelancong ke Kudat.

“Kudat menyediakan kira-kira 500 bilik hotel, inap desa dan chalet kepada pelancong yang ingin bermalam di Kudat. Cuma kami galakkan penduduk Kudat agar membuka lebih banyak restoran makanan laut untuk kemudahan pengunjung,” katanya.

Sapdin yakin, masa depan sektor pelancongan di Kudat cerah lebih-lebih lagi apabila projek jalan pesisir Lebuhraya Pan Borneo dari Tuaran ke Simpang Mengayau yang dijangka bermula tahun depan serta cadangan pembinaan lapangan terbang di Sikuati, seperti termaktub dalam pelan pembangunan pelancongan Kudat, dilaksanakan kelak. — Bernama

Advertisement