Anda di sini

Bantahan pekebun sawit

Advertisement
 Ribuan pekebun kecil sawit termasuk dari Sarawak hadir menyertai protes aman di hadapan Kedutaan Eropah di Kuala Lumpur, semalam.
PROTES AMAN: Ribuan pekebun kecil sawit termasuk dari Sarawak hadir menyertai protes aman di hadapan Kedutaan Eropah di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Ribuan pekebun kecil sawit mengadakan demonstrasi aman di depan Kedutaan Eropah semalam, sebagai tanda bantahan ke atas cadangan larangan eksport minyak sawit ke Eropah.

Larangan eksport minyak sawit yang dicadang Kesatuan Eropah mengancam 650,000 pekebun kecil dan lebih 3.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri minyak sawit sebagai sumber pendapatan.

Sekiranya cadangan sekatan tersebut dilaksanakan, komuniti luar bandar di seluruh negara akan terjejas.

Kerajaan sebelum ini juga telah menyatakan jika sebarang pengharaman ke atas minyak sawit dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah, tindakan sewajarnya akan diambil untuk melindungi hak dan pendapatan pekebun-pekebun kecil Malaysia.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH) Datuk Aliasak Ambia dalam satu kenyataan semalam menyifatkan Eropah mengambil kesempatan untuk mengenakan ‘diskriminasi tanaman berupa apartheid’ ke atas petani-petani dari negara membangun.

“Ini melanggar semua perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah mereka tandatangani.

"Kita tidak akan lupa dan tidak akan membenarkan diskriminasi ini diteruskan," tegasnya.

Manakala menurut Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad, larangan dicadangkan oleh Kesatuan Eropah mengenai bahan bakar bio sawit adalah satu diskriminasi di bawah Arahan Tenaga Diperbaharui. 

“Ia harus dihapuskan kerana akan menjejaskan lebih 112,000 pekebun kecil FELDA di Malaysia," kata Shahrir.

Dalam kenyataan sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) berkata Malaysia mengecam tindakan ahli-ahli politik Eropah yang mendiskriminasi pekebun-pekebun kecil sawit.

“Dasar-dasar yang dicadangkan oleh Kesatuan Eropah bakal menjejaskan komuniti luar bandar Malaysia dan mengurangkan pendapatan keluarga yang terlibat,” kata Uggah.

Presiden Persatuan Penanam-penanam Sawit Dayak (DOPPA) Dr Richard Mani Banda pula menyifatkan tindakan Kesatuan Eropah akan melemahkan komuniti pribumi Borneo.

“Ini akan menjejaskan pendapatan setiap keluarga untuk menyara dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan bekalan yang secukupnya seperti kanak-kanak di Berlin dan London. Ini merupakan penjajahan pada zaman moden,” katanya.

Advertisement