Anda di sini

100,400 pelajar di 78 kawasan parlimen terima bantuan sekolah

Advertisement

TAWAU: Seramai 100,400 pelajar sekolah di 78 kawasan Parlimen di negara ini menerima manfaat hasil bantuan kelengkapan sekolah percuma yang diagihkan kerajaan menerusi program ‘Happy 2 School’ (H2S).

Program anjuran Biro Keahlian dan Daftar Pemilih (KDP) UMNO dengan kerjasama Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) itu bertujuan sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga murid terbabit menyediakan kelengkapan termasuk pakaian serta beg sekolah.

Pengerusi KDP UMNO merangkap KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata bantuan yang diberikan sejak 15 Nov lepas dan berakhir semalam di Parlimen Kalabakan serta Tawau itu dilaksanakan tanpa memilih latar belakang agama dan bangsa individu tersebut serta mengetepikan perbezaan fahaman politik ibu bapa murid.

 “Program kerajaan ini memberikan sumbangan baju, beg dan kasut sekolah baharu dapat membantu menambah kelengkapan persekolahan sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program H2S di Sekolah Kebangsaan Kalabakan dekat sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Abdul Salleh, semalam.

Pada program itu lebih 1,000 pelajar dari empat sekolah di Parlimen Kalabakan iaitu SK Ulu Kalabakan, SK Brantian, SK Kalabakan dan SMK Kalabakan menerima kelengkapan sekolah serta bantuan khas (wang tunai) yang disampaikan Azeez.

Dalam pada itu menurut Azeez, limpahan bantuan kepada penduduk merupakan bukti kepimpinan kerajaan ditunjangi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menepati janji untuk sedaya upaya menyejahterakan rakyatnya.

“Kami laksanakan janji bukan seperti parti serpihan yang dilahirkan atas sifat penuh tidak kepuasan mereka dan mewujudkan sebuah parti kononnya melaksanakan tugas serta tanggungjawab besar, yang sebenarnya lebih 60 tahun UMNO sudah melakukan tugas tersebut,” katanya.

Justeru beliau berharap agar penduduk di Parlimen Kalabakan sedar perkara itu dan tidak terkeliru dan percaya dengan fitnah pembangkang.

Menurutnya, UMNO berkongsi rezeki dan menyalurkannya kepada anak-anak dan rakyat perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas rezeki yang diterima kerana masih ramai lagi yang jauh tidak bernasib baik seperti anak-anak di negara bergolak seperti di Palestin dan Myanmar. — Bernama

Advertisement