Anda di sini

Siasatan SPRM tidak jejas pelaksanaan projek

Advertisement

Siasatan dilakukan adalah berkaitan kes lama dan KKLW sentiasa beri kerjasama penuh kepada SPRM

 Ismail Sabri (dua kanan) pada sidang media itu.
TIDAK JEJAS: Ismail Sabri (dua kanan) pada sidang media itu.

KOTA KINABALU: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas penyelewengan berlaku dalam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebelum ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek serta imej kementerian berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan yang dilakukan itu adalah berkaitan kes lama dan KKLW akan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam siasatan itu.

Bukan sahaja kepada projek lama tetapi juga sekiranya wujud penyelewengan dalam projek baharu... ada individu yang melanggar peraturan sedia ada, maka kita akan sentiasa terbuka kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, tidak kira apa terjadi, projek yang dirancang akan diteruskan walaupun wujud isu berkaitan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri KKLW dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil 1/2018, di sini semalam.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan yang dilakukan itu tidak akan menjejaskan imej KKLW kerana kes itu hanya memberi kesan kepada mereka yang terlibat sahaja.

Orang ramai tahu dan faham siapa yang terlibat, kita juga masih tidak tahu mengenai keputusan kes itu kerana ia masih dalam siasatan SPRM.

Projek yang dilaksana kini tidak ada kaitan dengan kes-kes yang berlaku. Saya juga tidak akan membiarkan perkara itu berulang.

Untuk mengurangkan isu yang berkaitan, kita ada dan tetapkan jawatankuasa-jawatankuasa supaya memini-mumkan dari segi masalah yang pernah berlaku di kementerian terdahulu.

Kalau boleh hapuskan terus lagi baik tetapi jika tak hapus terus pun, sekurang-kurangnya kita dapat kawal dari segi penyelewengan dan sebagainya dalam kementerian,” katanya.

Dalam isu berlainan, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kes beliau menyaman sebuah akhbar tempatan masih dalam proses.

Katanya, perkara itu telah di-serahkan kepada peguamnya untuk meneruskan tindakan lanjut.

Segala tindakan lanjut akan dilakukan antara peguam saya dan peguam agensi akhbar berkenaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement