Anda di sini

Malaysia pusat keuntungan berkelas dunia

Advertisement

Pejabat MIDA Frankfurt melaksanakan promosi terbaik, luluskan FDI bernilai RM4.8 bilion pada 2017

FRANKFURT: Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini melaksanakan usaha terbaik untuk mempromosikan sebagai pusat keuntungan berkelas dunia.

Pengarah, Yusni Hasnan Chu berkata, ini memandangkan Malaysia, sebagai pusat itu, memiliki semua aspek bagi hab pengeluaran strategik dengan rangkaian pengedaran yang baik di rantau itu.

Malaysia menawarkan pelbagai peluang menarik kepada pelabur perniagaan. Ia memiliki infrastruktur moden, akses mudah kepada pasaran, rangkaian pengedaran berdaya maju dan ramai pekerja berkemahiran,” katanya kepada Bernama.

Pejabat MIDA di sini menjalankan peranan agensi itu termasuk di Jerman, Belgium, Luxembourg dan Netherlands, dan beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan oleh pejabat itu bernilai RM4.8 bilion pada 2017.

Jerman dan Netherlands merupakan penyedia FDI terbesar.

Kami mengatasi sasaran RM2.5 bilion yang ditetapkan kepada pejabat MIDA di sini bagi 2017,” katanya.

Yusni berkata terdapat minat dalam kalangan Eropah untuk melabur di rantau ASEAN khususnya di Malaysia.

Malaysia terletak di lokasi tengah-tengah ASEAN yang secara terkumpulnya memiliki 580 juta penduduk sekali gus menjana permintaan yang sangat besar.

Saya melawat syarikat di bawah tanggungjawab pejabat ini untuk berbincang dengan pelabur berpotensi mengenai keperluan mereka dan kita mengetengahkan peluang yang tersedia di Malaysia kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, syarikat Belgium akan menghantar wakil mereka untuk menjalankan kajian bagi mewujudkan kilang pengeluaran bahan pembinaan, dan pada masa sama perbincangan juga diadakan dengan syarikat daripada, antara lain, sektor minyak dan gas, peralatan perubatan, pelancongan dan industri perhotelan.

Pada masa ini, pengusaha pelancongan utama Jerman berminat untuk membeli hotel untuk kemudahan kepada pelancong negara itu yang berkunjung ke Malaysia.

Syarikat Jerman itu turut mencari peluang di beberapa lokasi di Asia bagi tujuan pelaburan. Kami juga menggalakkan pelabur Jerman yang berpotensi bertemu syarikat lain yang telah berjaya mewujudkan operasi mereka di Malaysia.

Apabila syarikat berkenaan menjadi contoh, pelabur yang berminat boleh belajar dan mendapat manfaat daripada pengalaman pihak lain di Malaysia namun MIDA juga membantu pelabur berpotensi ini, bagaimana untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau juga gembira dengan lawatan oleh Menteri Perdagangan Netherlands, Sigrid Kaag, ke Malaysia – kemungkinan pada Februari ini – untuk mengetuai delegasi perniagaan dengan memberi tumpuan kepada sektor teknologi aeroangkasa dan makanan serta bidang lain.

Pejabat MIDA di sini juga menjangkakan sejumlah lawatan berprofil tinggi ke Jerman tahun ini.

Ia termasuk oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang akan mengetuai misi perdagangan.

Yusni, yang baru-baru ini berada di pameran perdagangan peralatan perubatan, MEDICA 2017 di Dusseldorf menyaksikan potensi perniagaan untuk syarikat Malaysia membekalkan produk berasaskan teknologi hijau.

Kita berusaha mendapatkan pelabur asing untuk melabur dalam teknologi hijau yang semakin berkembang sebagai antara sektor penting di Malaysia,” katanya.

Antara minat bagi pelaburan lain yang disasarkan di Malaysia ialah pembuatan pintar 4.0 dan sektor seperti aeroangkasa, peralatan perubatan, elektrik dan elektronik dan jentera. — Bernama

Advertisement