Anda di sini

Dua lelaki didakwa atas tuduhan merasuah polis

Advertisement

SIBU: Dua lelaki di sini semalam didakwa atas tuduhan bersama merasuah seorang anggota polis dengan RM500.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu apabila dibacakan dan diperjelaskan kepada mereka menerusi jurubahasa perterjemahan dalam bahasa Mandarin.

Hakim Mahkamah Rasuah Nixon Kennedy Kumbong membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 oleh seorang penjamin dengan syarat masing-masing mendepositkan sejumlah RM1,000 secara tunai kepada mahkamah.

Ho Sing Chiong, 43, dan Wong Wui Ming, 42, menghadapi kesalahan disenaraikan di bawah Seksyen (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mengikut kertas mahkamah, mereka didakwa merasuah dengan memberi suapan wang tunai RM500 kepada seorang anggota polis, Mohd Rezza Saadon yang bertugas di Unit Peronda Motosikal Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di Pondok Polis Taman Rejang Park di sini kira-kira jam 3.50 petang pada 6 Mei tahun lalu.

Pemberian wang itu dikatakan secara rasuah diberikan kepada Mohd Rezza sebagai dorongan melepaskan diri daripada mengambil tindakan terhadap Wong yang disyaki melakukan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, Nixon menjadualkan pendengaran kes pada 26 hingga 28 Mac ini.

Advertisement