Anda di sini

DBOS mula beroperasi

Advertisement

Sedang menilai beberapa permohonan pinjaman bagi tujuan pembangunan di Sarawak.

 Abang Johari memperkenalkan logo DBOS ketika pembukaan rasmi pejabat bank berkenaan di Tingkat 2, Menara SEDC, Ithmus di Kuching semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
BEROPERASI: Abang Johari memperkenalkan logo DBOS ketika pembukaan rasmi pejabat bank berkenaan di Tingkat 2, Menara SEDC, Ithmus di Kuching semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) sedang menilai beberapa permohonan pinjaman daripada agensi atau syarikat berkaitan kerajaan bagi tujuan projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, DBOS memulakan operasi komersialnya secara rasmi semalam di pejabatnya yang terletak di Tingkat 2, Menara SEDC, Ithmus di sini.

DBOS menerima banyak permohonan pinjaman tetapi semua permohonan adalah daripada agensi atau syarikat berkaitan kerajaan yang kini dalam penilaian.

Jumlah pinjaman adalah bergantung kepada deposit yang kita ada dalam bank dan projek yang hendak dibangunkan oleh peminjam.

Tetapi projek tersebut haruslah yang mempunyai nilai komersial serta berpotensi menjana keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media selepas majlis doa selamat pembukaan rasmi pejabat DBOS semalam.  

Pada majlis itu semalam, Abang Johari turut memperkenalkan logo rasmi DBOS diikuti pelancaran laman web rasmi dbos.gov.my.

Tambah Abang Johari dengan bermulanya operasi DBOS semalam, bank milik sepenuhnya Sarawak ini akan dapat mengambil deposit daripada kerajaan negeri dan daripada syarikat berkaitan kerajaan pada masa akan datang.

Lebih penting dengan adanya bank ini, ia akan membolehkan Sarawak membiayai sendiri projek berpotensi seperti metanol tanpa kesulitan dari segi mendapatkan pinjaman.

Antara projek yang dibiayai oleh bank ini ialah projek infrastruktur asas termasuk yang berkaitan dengan Internet dan sebahagian daripada projek melibatkan sistem pengangkutan.

DBOS juga akan menyediakan pembiayaan bagi projek-projek pembangunan dalam sektor tenaga diperbaharui, industri minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan pertanian moden. 

DBOS ditubuhkan pada 11 Mei 2017 dan memulakan operasi komersialnya semalam dengan modal berbayar sehingga RM500 juta.

 Turut hadir menyaksikan perasmian pejabat DBOS semalam, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol.

Pengerusi DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Sim Kheng Boon turut hadir bersama lembaga pengarah yang lain iaitu Datu Laura Lee Ngien Hion, Datuk Sharkawi Alis, Christopher Adrian dan Ho Swee Huat.

  • oleh
  • Advertisement