Anda di sini

Cua Van, Vietnam tersenarai sebagai antara kampung paling cantik di dunia

Advertisement
Cua Van terletak enam jam dari Hanoi - Foto Vietnam Tourism

HANOI: Cua Van, sebuah perkampungan nelayan kecil di utara wilayah Quang Ninh, Vietnam telah disenarai sebagai antara 16 kampung paling cantik di dunia oleh sebuah laman sesawang penasihat pelancongan, Journeyetc.com, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

“Anda akan kagum dengan kawasan bersejarah dan jalan yang berbatu buntar di kampung ini,” demikian menurut laman sesawang itu, yang menggambarkan Cua Van sebagai antara tempat paling indah di seluruh dunia.

“Kagumi bukit-bukit batu kapur yang hebat dan agung di Teluk Ha Long, ambillah foto-foto perkampungan nelayan terapung ini serta rumah-rumah rakit yang berwarna-warni, dan nikmatilah keasyikan gaya hidup kedesaan di Cua Van,” katanya.

Terdapat juga kapal-kapal pesiaran yang lebih mewah untuk ke destinasi ini, menurut laman sesawang itu.

Perkampungan lain yang turut tersenarai ialah Wengen di Switzerland, Chimayo di New Mexico, Savoca di Itali, Sidi Bou Said di Tunisia dan Shirakawa-go di Japan.

“Kesemua tempat ini pasti akan menyebabkan bulu roma anda meremang kerana berupaya mengekalkan sebegitu banyak budaya sejak berdekad-dekad lamanya, jika bukan berkurun,” kata laman sesawang itu. - BERNAMA

Advertisement