Anda di sini

Kemas dan bersih, RMT SK Bako wajar dicontohi

Advertisement
__alt__
__alt__
 Sekolah Kebangsaan Bako tampil berbeza dalam pengurusan dan pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila menu dihidangkan dalam bekas makanan dan minuman berpenutup bermula sesi persekolahan tahun ini.
DICONTOHI: Sekolah Kebangsaan Bako tampil berbeza dalam pengurusan dan pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila menu dihidangkan dalam bekas makanan dan minuman berpenutup bermula sesi persekolahan tahun ini.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bako di Kuching tampil berbeza dalam pengurusan dan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila menu dihidangkan dalam bekas makanan dan minuman berpenutup mulai sesi persekolahan tahun ini.

Idea yang dicetuskan pihak pengurusan sekolah itu mendapat kerjasama baik pengusaha kantin menyaksikan program RMT di sekolah tersebut kelihatan menarik dan tersusun, malahan murid-murid semakin berselera menikmati juadah yang dihidangkan.

Guru Besarnya Awang Majri Awang Rosli, 57, berkata, inisiatif tersebut diambil bagi menambah baik pengurusan menu seterusnya menjamin kebersihan serta keselesaan penerima bantuan di sekolah itu, kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching.

Sebelum ini setiap menu dihidangkan dalam bekas makanan pakai buang.

Bagaimanapun bermula sesi persekolahan tahun ini, saya cadangkan buat kelainan supaya makanan dan minuman dihidangkan dalam bekas bertutup, berwarna-warni dan disusun mengikut tahun persekolahan,” katanya kepada Bernama di Kuching, baru-baru ini.

Alhamdulillah idea tersebut mendapat persetujuan pengusaha kantin.

Justeru, sejak sesi persekolahan bermula awal tahun ini pengurusan dan pelaksanaan program RMT sekolah ini tampil lebih menarik,” tambahnya.

RMT dikelola, diselia dan dilaksanakan sepenuhnya Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1979 bagi memberi makanan tambahan kepada murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah, secara imbuhan buat sementara waktu, bertujuan memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Seramai 116 murid Tahun Dua hingga Tahun Enam SK Bako menerima bantuan RMT tahun ini (2018) menerusi program yang telah bermula di sekolah tersebut sejak dibuka pada 2006.

LEBIH CERIA

Awang Majri berkata, bagi murid tahun satu bantuan akan bermula awal Februari, selepas proses saringan selesai.

Program RMT disediakan kepada penerima bantuan setiap Isnin-Jumaat dan hidangan bertukar setiap hari mengikut menu yang diberikan KPM.

Setiap hari dua guru akan bertugas memeriksa makanan yang dihidangkan serta senarai kehadiran murid,” katanya yang berkhidmat di sekolah itu sejak 2016.

Selepas sembilan pelaksanaan (2 hingga 11 Januari), beliau berkata, pihak sekolah mendapat maklum balas positif daripada murid dan ibu bapa.

Sementara itu, Pengurus Iffat Katering Normala Bujang, 50, berkata, biar pun perlu mengeluarkan sedikit kos untuk membeli barangan seperti bekas makanan dan minuman berpenutup serta sudu dan garpu plastik, mereka tetap berpuas hati dapat memberi kelainan kepada pengurusan program tersebut.

Katanya, dalam urusan perniagaan khususnya melibatkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, mereka tidak mengutamakan faktor keuntungan semata-mata.

Alhamdulillah pembaharuan ini menyaksikan makanan terbuang berkurangan, ada murid ucapkan terima kasih kerana juadah dihidangkan sedap dan saya nampak mereka gembira setiap kali makan ketika waktu rehat,” katanya yang dibantu lima kakitangan setiap hari.

Tempoh pelaksanaan RMT tidak melebihi 190 hari persekolahan dengan peruntukan RM2.50 seorang murid sehari di Semenanjung Malaysia dan RM3 seorang murid sehari di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (bermula 2015).

Program RMT akan bermula pada hari pertama persekolahan bagi murid tahun dua hingga tahun enam, manakala murid tahun satu dan murid tercicir akan mula menikmatinya pada hari pertama persekolahan bagi Februari tahun semasa. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement