Anda di sini

Filipina naikkan amaran Mayon

Advertisement

Gunung berapi terpencil itu menunjukkan peningkatan magma

MANILA: Filipina menaikkan amaran di gunung berapi terpencil Mayon awal semalam, memetik kepada petanda peningkatan magma yang boleh membawa kepada letusan berbahaya.

Para penduduk dipindahkan dari dua kampung berhampiran gunung berapi tersebut, satu tarikan pelancong di wilayah tengah Albay disebabkan bentuk konnya yang hampir sempurna, selepas letusan yang dirangsang wap kelmarin.

Letusan tersebut memuntahkan abu, batu dan bau sulfur, diikuti bunyi gegaran dan kilauan samar di dalam kawah, menurut Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) dalam buletin terbaharunya.

PHIVOLCS menaikkan amaran ke paras 2, yang bermakna aktiviti sekarang kemungkinan berpunca daripada magma, yang boleh membawa kepada letusan lebih kuat atau kemungkinan letusan berbahaya.

Letusan Mayon yang paling teruk adalah pada Februari 1841, di mana aliran lahar menimbus sebuah pekan dan membunuh 1,200 orang.

Kali terakhir meletus pada 2014, ia memuntahkan lahar serta memaksa  ribuan penduduk berpindah.

Orang awam dinasihati dengan tegasnya agar berjaga-jaga dan berhenti daripada memasuki Zon Bahaya Tetap lingkungan enam kilometer bagi meminimumkan risiko akibat letusan mengejut, jatuhan batu dan tanah runtuh,” menurut  PHIVOLCS.

Ia menasihati penduduk yang mengalami letusan abu agar menutup hidung dan mulut mereka dengan kain bersih yang lembap atau memakai topeng antiabu.

Ia turut menyatakan  pesawat harus mengelak daripada terbang berhampiran puncak gunung berapi.

Mereka yang berada dalam kawasan cerun gunung berapi, namun di luar zon bahaya, diminta mengambil langkah berhati-hati terhadap kemungkinan bumbung runtuh akibat pengumpulan abu dan air hujan.

Ketua PHIVOLCS Renato Solidum menyatakan gunung berapi tersebut dijangka mengalami satu lagi letusan ketika ia mulai menunjukkan keadaan luar biasa  sejak lewat tahun lepas.

Namun Cedric Daep, ketua Pejabat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Wilayah Albay, menyatakan mereka yang berada di pusat pemindahan mungkin akan dibenarkan untuk pulang ke rumah melainkan PHIVOLCS menaikkan paras amaran ke tahap seterusnya.

Beliau menyatakan tidak semua penduduk yang dipindahkan tinggal dalam zon bahaya.

Kami masih belum sampai ke peringkat kritikal.

Paras amaran 3 kami anggap kritikal, 4 pula ketika letusan ketara, dan 5 ditetapkan setelah letusan berlaku,” kata beliau dalam temu bual radio. — Reuters

Advertisement