Anda di sini

Cate Blanchett ketuai barisan juri festival filem Cannes, Mei ini

Advertisement
__alt__

CATE Blanchett, aktres yang memenangi dua anugerah Oscar dan memimpin kempen di Hollywood untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja, akan mengetuai juri di Festival Filem Cannes pada tahun ini, kata penganjur baru-baru ini.

 Blanchett, aktres berusia 48 tahun yang membantu melancarkan inisiatif ‘Time’s Up’ ekoran siri tuduhan serangan seksual terhadap lelaki terkemuka dalam industri filem, akan menjadi wanita ke-12 untuk mengetuai panel berprestij itu di Cannes, yang akan bermula pada 8 Mei.

 “Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan seorang artis yang unik dengan bakat dan keyakinan,” presiden Cannes, Pierre Lescure, dan ketua delegasi Thierry Fremaux menyebut dalam satu kenyataan bersama.

 “Perbualan kami pada musim luruh ini meyakinkan kami bahawa dia akan menjadi presiden yang komited, dan seorang penonton yang bersemangat dan murah hati.

” Pemilihan Blanchett, yang dipilih sebagai aktres terbaik di Anugerah Akademi 2014 bagi wataknya dalam filem arahan Woody Allen ‘Blue Jasmine’, dilihat sebagai berbaur politik selepas tahun di mana skandal gangguan seksual yang menyelubungi taikun Hollywood Harvey Weinstein mencetuskan pelbagai dakwaan terhadap lelaki berkuasa dalam hiburan, politik dan media.

 Dia merupakan salah seorang wanita pertama untuk bersuara mengenai Weinstein, yang menghadapi dakwaan mengenai siri serangan seksual dan rogol daripada lebih seratus penuduh.

 Weinstein menafikan beberapa tuduhan.

 “Mana-mana lelaki yang berada dalam kedudukan kuasa atau pengaruh, anda tahu, sama ada dia seorang penerbit filem atau presiden Amerika Syarikat (AS) yang berpendapat bahawa ia adalah prerogatifnya untuk mengugut secara seksual atau mendera wanita yang bertemu dengan mereka, sama ada di tempat kerja atau tempat lain, mereka perlu dipertanggungjawabkan,” kata Blanchett sewaktu tayangan filem terbaharunya pada September lalu, ‘Thor: Ragnarok’.

 Dia merupakan seorang daripada lebih 300 wanita terkemuka di Hollywood, menyertai pelakon seperti Meryl Streep dan Jennifer Lawrence, untuk mengumumkan inisiatif ‘Times Up’ dua minggu yang lepas untuk menangani budaya gangguan seksual yang berleluasa di tempat kerja.

 Ia menggesa syarikat, agensi kerajaan dan malah sistem mahkamah persekutuan AS untuk meneliti semula dasar gangguan.

 Blanchett memenangi Anugerah Oscar dalam kategori aktres pembantu terbaik pada 2005 bagi lakonannya sebagai Katherine Hepburn dalam filem arahan Martin Scorsese ‘The Aviator’ dan memenangi anugerah aktres terbaik di Venice pada 2007 bagi gambarannya mengenai Bob Dylan dalam biopik ‘I’m Not There’.

 Dia menggantikan pengarah dari Sepanyol, Pedro Almodovar, sebagai ketua juri di Cannes, yang pada tahun lepas menganugerahkan Palm d’Or yang berprestij bagi tragikomedi dari Sweden ‘The Square’.

 — AFP

Advertisement