Anda di sini

5 terbunuh, dua hilang helikopter terhempas di India

Advertisement
Lima bot laju dan helikopter dari ONGC dikerahkan dalam operasi pencarian - Foto dimuatnaik tentera laut India @indiannavy dalam Twitter

NEW DELHI: Lima individu terbunuh dan dua lagi hilang pada Sabtu selepas helikoper awam membawa pegawai dari perbadanan minyak dan gas asli milik negeri (ONGC) terhempas di negeri barat India, Maharashtra, lapor agensi berita Xinhua.

Xinhua memetik jurucakap tentera laut India berkata, helikopter itu yang dinaiki tujuh orang terdiri daripada lima pegawai ONGC dan dua juruterbang, terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Juhu di Mumbai, ibu kota Maharashtra. 

"Lima mayat telah ditemui. Bangkai (helikopter) dan jaket keselamatan turut ditemui," kata pegawai tersebut.

Menurut pegawai tentera laut, mayat dibawa balik ke ONGC OSV Hull Anand ke Mumbai.

Pegawai memberitahu, helikopter Pawan Hans ditugaskan dengan ONGC berlepas pada jam 10.20 pagi waktu tempatan dari lapangan terbang Juhu dan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara (ATC) Mumbai 15 minit kemudian.

Susulan terputus hubungan dengan ATC, pegawai pengawal pantai India dan tentera laut mula mengerahkan pasukan penyelamat termasuk kapal dan kapal terbang untuk mencari helikopter yang hilang.

Helikopter itu dianggar terbang 55 kilometer (km) dari pantai Mumbai apabila ia kehilangan komunikasi dan terhempas.

Laporan memberitahu helikopter itu menuju ke lapangan minyak Bombay Tinggi ONGC, 175 km barat laut Mumbai.

Daripada lima mayat ditemui, satu daripadanya dikenalpasti sebagai Pankaj Garg, pegawai tertinggi ONGC.

"ONGC mengesahkan helikopter Pawan Hans dengan tujuh orang termasuk dua juruterbang dan lima pegawai ONGC terhempas di laut pagi tadi (semalam). ONGC mengerahkan semua sumber untuk memulakan operasi pencarian serta merta," kata kenyataan dikeluarkan ONGC.

Identiti mayat-mayat lain masih cuba diperolehi, kata kenyataan itu lagi. 
 

Advertisement