Anda di sini

‘Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan’ dekati golongan ibu tunggal berjaya di TV2

Advertisement
 Episod menarik Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan di TV2.
AIR TANGAN IBU: Episod menarik Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan di TV2.

BERTEMAKAN ketabahan dan kegigihan ibu tunggal dalam meneruskan kehidupan dan memberi kebahagiaan kepada anak-anak mereka, program terbaharu dihoskan oleh cef dan selebriti terkenal iaitu Datuk Chef Wan akan menyelongkar kehidupan golongan wanita berstatus ibu tunggal dan balu.

Chef Wan bertandang ke rumah tetamu undangan dan menemu ramah mereka tentang perkara-perkara yang memberi kekuatan kepada mereka.

Tetamu tersebut juga dikehendaki untuk memasak masakan yang diminati oleh anak-anak mereka dan Chef Wan juga akan menyediakan satu hidangan untuk tetamu dan anak-anak.

Menerusi program bertajuk ‘Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan’, sedang bersiaran setiap Rabu, 3 petang di TV2.

Tiga belas episod siarannya bakal membawa penonton antaranya  berkunjung ke rumah Puan Marriam Yusuf Abdullah, seorang ibu tunggal yang begitu berjaya menceburi bermacam-macam jenis perniagaan termasuklah pengurusan acara dan katering.

Chef Wan menemu ramah Puan Marriam tentang kehidupan dan pengalaman beliau dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Puan Marriam yang merupakan pakar bagi masakan rendang telah menunjukkan cara-cara memasak Rendang Daging Sarawak, masakan kegemaran anak-anaknya.

Berikutnya Chef Wan pula yang menunjukkan cara-cara menyediakan masakan Pindang Daging. Selesai memasak mereka sama-sama menikmati masakan tersebut.

Menerusi episod seterusnya, Chef Wan telah ke Sabak Bernam, Selangor menemui Puan Sukinah Abdullah, seorang ibu tunggal yang telah berjaya membesarkan lapan orang anak-anaknya dengan cemerlangnya.

Kesemua anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjawat berbagai-bagai jawatan seperti saintis dan jurutera.

Puan Sukinah melakukan bermacam-macam pekerjaan untuk membesarkan anak-anak selepas kematian suaminya.

Puan Sukinah menunjukkan cara-cara memasak Ikan Keli Bakar Masak Kencur, masakan kegemaran anak-anak beliau.

Sementara itu, Chef Wan pula menunjukkan cara menyediakan Burger Morocco.

Penonton turut dibawa oleh Chef Wan ke rumah Cikgu Norshamsiah Maarof di Masjid Tanah, Melaka. Bekas Guru Besar yang juga merupakan kawan sekelas kepada Chef Wan semasa di Tingkatan Satu hingga Lima di Masjid Tanah.

Cikgu Shamsiah mempunyai lima orang anak dan berpisah dengan suaminya sejak sepuluh tahun lalu.

Beliau baru kehilangan anak bongsunya yang berusia 21 tahun kerana menghidap penyakit leukemia.

Cikgu Shamsiah menyediakan Kerutup Ikan Siakap. Chef Wan pula memasak ‘Buttered Chicken’, sejenis masakan yang berasal dari India Utara dan sangat terkenal pada zaman Empayar Mongul.

Menerusi episod ini Chef Wan telah ke Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor bertemu Puan Dzuriasikim Dzulkefli, ibu tunggal yang telah membesarkan lima orang anaknya sendiri.

Puan Zu telah berpisah dengan suaminya lebih dari empat tahun lepas setelah mendirikan rumah tangga selama 20 tahun.

Puan Zu yang berkerjaya tetap dan membuat perniagaan sampingan mengakui memang ada diskriminasi terhadap mereka yang bergelar ibu tunggal dalam kehidupan mereka.

Dalam episod ini Puan Zu menunjukkan cara-cara memasak Daging Goreng Garam Kunyit manakala Chef Wan pula menyediakan Mi Rebus Udang.

Ikuti banyak lagi episod menarik bersama Chef Wan menerusi ‘Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan’, setiap Rabu, di TV2.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya di portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile.

Advertisement