Anda di sini

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2018: RAM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2018, susulan pengukuhan permintaan domestik dan pasaran luar yang berdaya tahan.

Pakar Ekonomi RAM Rating Services Bhd, Kristina Fong, berkata secara umumnya, aktiviti pengambilan pekerja dan tenaga buruh adalah lebih baik pada tahun ini, yang akan membantu meningkatkan permintaan domestik. 

Aktiviti pelaburan turut kelihatan baik, katanya, sambil menambah daripada temu bual yang dijalankan oleh agensi penarafan itu dengan syarikat dan kaji selidiknya, syarikat telah meningkatkan pelaburan mereka. 

“Yang tidak diketahui pada 2018 adalah bagaimana keadaan persekitaran luaran. Daripada petunjuk kami, terdapat ketahanan terhadap permintaan luaran,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM di sini semalam.

Fong berkata ringgit dijangka antara 4.10 dan 4.20 berbanding dolar AS sepanjang tahun ini dan menyatakan peningkatan semasa itu tidak berkekalan.

“Terdapat banyak faktor baik pada akhir tahun lepas dan pada Januari, termasuk jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari. 

“Peningkatan semasa ringgit ini didorong sebahagiannya oleh kenaikan harga minyak dan susut nilai dolar AS berikutan jangkaan mereka terhadap pengetatan (dalam dasar monetari mereka),” katanya.

OPR dijangka meningkat sebanyak 25 mata asas dari Mei tahun ini.

“Kami berasakan perlu ada lebih banyak data makro sebelum keputusan dibuat. Inflasi susut pada masa ini. (Kenaikan OPR) terlalu awal untuk dilakukan dalam beberapa  mesyuarat  pertama,” kata Fong.

Sementara itu, keputusan RAM BCI menunjukkan prospek prestasi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menurun sedikit, menunjukkan keperluan usaha yang berterusan dengan syarikat bagi membolehkan mereka mendapat akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa. 

RAM BCI melibatkan 3,500 syarikat korporat dan PKS, termasuk dalam sektor  pembuatan, runcit dan pembinaan. — Bernama

Advertisement