Anda di sini

Tommy syukur kembali wakili negara

Anak jati Sarawak itu berharap diberi peluang dalam kesebelasan utama pada kejohanan Piala AFC Bawah 23 Tahun di China

 Tommy Mawat ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.
LINCAH: Tommy Mawat ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.

KUCHING: Pemain sayap muda PJ Rangers Tommy Mawat Bada terus diberi kepercayaan untuk menyarung jersi skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan dalam menggalas cabaran Piala AFC Bawah 23 Tahun di China.

 Digugurkan dari skuad pada aksi kelayakan di Thailand dan Projek Sukan SEA 2017, beliau kembali menyertai pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee.

 Tommy ketika dihubungi Utusan Borneo semalam bersyukur apabila diserap masuk ke dalam skuad bawah 23 tahun Malaysia.

 “Bagi saya, gembira dan bersyukur apabila diserap semula ke dalam pasukan selepas digugurkan dari skuad pada 2017,” ujarnya.

 Anak jati Sarawak itu berharap dapat diberi peluang untuk disenarai dalam kesebelasan utama.

 Tommy kini berada di Jiangsu, China bersama skuad negara yang dijadual menentang Iraq pada aksi pembukaan Kumpulan C sebelum meneruskan saingan bertemu Jordan pada 13 Januari dan Arab Saudi (16 Januari).

 Menurutnya, para pemain sebelum ini terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk di China.

 “Kami sudah berjaya menyesuaikan diri dengan tahap kesejukan di sini (Jiangshu), harap tidak ada masalah dengan cuaca selepas ini,” ujarnya.

 Apa yang penting, Tommy berkata beliau mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dalam membantu memenangi perlawanan peringkat kumpulan.

 Bekas pemain Sarawak FA itu, turut berharap skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan dapat pulang dengan pencapaian yang lebih baik berbanding sebelum ini.