Anda di sini

Sentuhan kepimpinan Tok Nan amat dihargai dan dikenang: Abdullah

Advertisement

KUCHING: Mengimbas kembali kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata sentuhan kepimpinan arwah walaupun tidak lama tetapi amat dihargai dan dikenang oleh ramai warga negeri yang menyelami keikhlasan beliau ingin memajukan negeri ini.

Abdullah sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha Politik kepada arwah berkata sepanjang menjawat jawatan itu, beliau merumuskan dalam jiwa Tok Nan sentiasa wujud Sarawak dan tersemat rakyat dalam hatinya.

Perjuangan Tok Nan tidak akan disia-siakan kerana saya nampak Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersungguh-sungguh meneruskan agenda Tok Nan serta beberapa inisiatif baharu dengan pendekatan serta acuan beliau sendiri,” katanya.

Abdullah bersama poster Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu pada Mac 2017 yang diadakan susulan kematian Tok Nan.
Abdullah bersama poster Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu pada Mac 2017 yang diadakan susulan kematian Tok Nan.
Abdullah mempunyai kenangan tersendiri bersama Allahyarham Tok Nan ketika bertugas sebagai Ketua Setiausaha Politik.
Abdullah mempunyai kenangan tersendiri bersama Allahyarham Tok Nan ketika bertugas sebagai Ketua Setiausaha Politik.

Berita pemergian Tok Nan sememangnya amat menggemparkan terutama di kalangan warga Sarawak pada 11 Januari 2017.

Semua akhbar di Sarawak pada hari berikutnya memaparkan di muka hadapan berita mengenai pemergian buat selama-lamanya Ketua Menteri Sarawak kelima.

Seluruh warga Sarawak agak terkejut dan sukar mempercayai berita yang disebarkan menerusi media pada petang Rabu.

Media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan Instagram masing-masing menjadi medan meluahkan kesedihan mereka apabila Pehin Sri Adenan Satem menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Semua warga Sarawak meratapi pemergian Allahyarham yang amat dikenali sebagai pemimpin yang sungguh prihatin dengan rintihan rakyat. Beliau amat disayangi.

Polisi dan tindakannya ketika mengemudi kerajaan negeri bermula 1 Mac 2014 sehinggalah akhir riwayatnya, begitu disenangi rakyat.

Antara yang begitu menyemarakkan semangat anak Sarawak ialah perjuangan menuntut semula hak-hak negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada kerajaan persekutuan.

Beliau juga berusaha membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan memberi contoh terbaik apabila Kabinet Negeri pada 15 Januari 2015 menandatangani Ikrar Integriti diketuainya sendiri. Kerajaan negeri yang pertama berbuat demikian.

Dalam usaha meringankan beban rakyat, Tok Nan menurunkan tarif elektrik domestik sehingga 47 peratus dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2015.

Kutipan tol di jambatan-jambatan dihapuskan, juga bagi meringankan beban rakyat.

Itu antara polisi dan tindakannya yang amat dihargai oleh warga Sarawak.

Sokongan padu rakyat di Sarawak terhadap perjuangan Tok Nan dibuktikan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei 2016.

BN di bawah pimpinan Allahyarham menang besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Kemenangan itu adalah mandat dan kepercayaan rakyat kepada Tok Nan dan ‘Team Adenan’ - satu gelaran popular digunakannya menjelang pilihan raya tersebut.

BN melepasi sasaran menang 70 kerusi yang disasarkan sebelum itu.

Tok Nan meninggal dunia pada usia 72 tahun.

Advertisement