Anda di sini

Kisah anggota bomba jadi pengendali ular

Advertisement
 Muhammad Azizi (kiri) dan Safiq menunjukkan kemahiran mengendalikan haiwan berbisa ular tedung selar di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang. — Gambar Bernama
KEMAHIRAN: Muhammad Azizi (kiri) dan Safiq menunjukkan kemahiran mengendalikan haiwan berbisa ular tedung selar di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang. — Gambar Bernama

MUHAMMAD Azizi Abd Aziz memang fobia dengan ular tetapi perasaan takut itu lenyap apabila beliau mengambil kursus mengendali haiwan berbisa ketika berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.

Malah anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang berusia 21 tahun itu kini menjadi tenaga pengajar pengendali haiwan berbisa di jabatan berkenaan.

Anak bongsu daripada enam beradik ini mula berkhidmat dengan pasukan bomba pada Jun 2016 di Balai Bomba Kuala Terengganu sebagai anggota bomba.

Sebelum saya menyertai pasukan bomba saya seorang yang sangat takut dan geli dengan ular sehingga rakan-rakan sering menyakat saya. Mereka akan menjerit ular dan saya orang pertama yang akan melarikan diri.

Apabila saya masuk ke Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu (ABPM), saya ambil kursus mengendalikan haiwan berbisa kerana ingin belajar walaupun ada rasa takut.

Pada mulanya saya ingat sekadar belajar teori. Saya tak tahu pula ada sesi amali sekali tapi nak tak nak saya teruskan juga sebab sudah ambil kursus itu,“ kata beliau dalam sesi temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

BANYAK CABARAN

Memang banyak cabaran untuk menjadi pengendali haiwan berbisa seperti yang dikongsikan Muhammad Azizi.

Beliau pernah berdepan detik cemas dan hampir kehilangan penglihatan apabila terkena semburan bisa ular Tedung Senduk Sembur di bahagian mata kanannya tatkala menyertai satu operasi menangkap reptilia berkenaan.

Bisa ular berkenaan boleh menyebabkan beliau kehilangan penglihatan jika tidak mendapat rawatan awal.

Mujurlah setiap anggota bomba diajar rawatan awal sekiranya dipatuk, digigit, disembur, atau dibelit ular sebagai langkah keselamatan atau berjaga-jaga seandainya perkara yang tidak diingini berlaku pada diri sendiri. Ilmu itu membantu saya menghadapi detik cemas tersebut, “ kata Pegawai Bomba itu lagi.

Dalam tempoh kira-kira dua tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba, beliau menangani lebih 100 kes melibatkan haiwan berbisa di seluruh Terengganu.

 Muhammad Azizi (kanan) membantu jurulatih  Safiq memeriksa mulut ular tedung selar bagi memastikan haiwan berkenaan dalam keadaan sihat di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang. — Gambar Bernama
KEADAAN SIHAT: Muhammad Azizi (kanan) membantu jurulatih Safiq memeriksa mulut ular tedung selar bagi memastikan haiwan berkenaan dalam keadaan sihat di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang. — Gambar Bernama

PENGALAMAN BELAJAR KENDALI ULAR

Pada peringkat awal Muhammad Azizi belajar selok-belok asas mengenai ular dan cara mengendalikan haiwan itu daripada beberapa jurulatih bomba yang pakar dengan haiwan berbisa dari seluruh Malaysia.

Beliau turut cuba mencari dan mempelajari pelbagai ilmu mengenai ular daripada pengalaman orang awam yang berkemahiran mengenai ular di merata tempat termasuk rujukan di Internet.

Minat yang mendalam juga membuatkan beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengikuti kursus yang dianjurkan pelbagai pihak bagi membolehkan beliau terus mendalami bidang berkenaan.

Berdasarkan kepakarannya dalam bidang itu juga membuatkan Muhammad Azizi diberi amanat oleh Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor untuk mengadakan kursus mengenai cara menangkap dan mengendalikan haiwan berbisa (ular) di peringkat Negeri Terengganu pada tahun 2018.

Kursus itu dijangka melibatkan anggota  bomba yang bertugas di seluruh negeri Terengganu.

Ini adalah satu tanggungjawab besar yang perlu saya tunaikan kerana saya bukan sahaja melatih anggota yang jauh lebih berpengalaman daripada saya yang pernah berdepan dengan pelbagai  kes, namun saya juga menanggung pelbagai risiko ketika mengajar atau membuat latihan.

Bagaimanapun, saya menganggap ini juga peluang untuk saya berkongsi ilmu berkaitan ular dengan anggota bomba yang lain agar mereka lebih berpengetahuan serta menggunakan cara yang betul serta selamat mengikut Piawaian Prosedur Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh jabatan dan dilindungi Akta Perhilitan Negara,” katanya.

TINGKAT PENGETAHUAN

Sementara itu, bekas jurulatih dan kini rakan sejawatan Muhammad Azizi, Safiq Mohamad, 25, berkata pada awalnya Muhammad Azizi mengikuti kursus itu secara paksa rela namun berkat kegigihannya, beliau berjaya muncul antara jurulatih yang berjaya dalam bidang itu.

Kebelakangan ini kita tengok keyakinan diri beliau semakin meningkat. Pengetahuannya juga mengenai haiwan berbisa saya boleh katakan sudah sampai ke peringkat tinggi.

Beliau menggunakan dengan begitu baik sekali segala ilmu yang dipelajari sepanjang tempoh sebulan menjalani kursus kaedah mengendalikan haiwan berbisa,” katanya.

Mengenai kursus yang akan dikendalikan Muhammad Azizi, beliau berkata ia melibatkan seluruh anggota Bomba di Malaysia dan undangan dibuat menerusi Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang.

Seramai 30 peserta akan dilatih bagi setiap siri kursus yang akan berlangsung selama sebulan di akademi berkenaan yang juga terbesar di Asia Tenggara dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kursus kebombaan.

Kursus yang sama juga pernah dianjurkan kepada pelatih bomba yang mengikuti kursus sijil sains kebombaan pada tahun 2014,” katanya. — Bernama

 Muhammad Azizi mempelajari daripada jurulatih beliau Safiq  teknik membuang bisa ular tedung selar di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang. — Gambar Bernama
BUANG BISA: Muhammad Azizi mempelajari daripada jurulatih beliau Safiq teknik membuang bisa ular tedung selar di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang. — Gambar Bernama

Kenali ular

ULAR adalah haiwan yang menjalar, tidak berkaki, berdarah sejuk, bertulang belakang dan terdiri daripada golongan keluarga tersendiri dengan ada yang berbisa dan ada yang tidak.

Menurut Muhammad Azizi, ular-ular yang terkenal di Malaysia terdiri daripada beberapa jenis keluarga ular seperti ‘Elapidae’, ‘Colubridae’, ‘Viperidae’ dan ‘Pythonidea’.

Ular dari keluarga Elapidae adalah ular yang mempunyai bisa jenis ‘neurotoxin’ yang akan  menyerang sistem saraf. Toksin jenis ini boleh melumpuhkan sistem pernafasan yang menyebabkan oksigen dalam badan semakin berkurang dan sekiranya terlambat mendapat rawatan boleh membawa kepada kematian akibat kegagalan jantung.

Antara contoh jenis ular dari keluarga Elapidae ialah tedung selar, tedung senduk, tedung senduk sembur, katam tebu, katam belang, dan katam kepala merah.

Perbezaan antara ular tedung senduk dengan ular tedung senduk sembur antaranya ialah di bahagian belakang kepalanya yang mempunyai corak seperti ‘O’ (tedung senduk), manakala ular tedung senduk sembur tidak mempunyai  corak di bahagian belakang kepalanya selain warnanya yang lebih hitam dan berkilat.

Ular tedung selar adalah ular berbisa yang terbesar dan terpanjang di dunia.

KELUARGA ‘COLUBRIDAE’ DAN ‘VIPERIDAE’

Manakala, bagi keluarga ‘Colubridae’, secara umumnya ular daripada keluarga ini tidak mempunyai bisa walaupun ada yang dikategorikan sebagai ular separa berbisa.

Muhammad Azizi memberitahu Bernama, ini kerana ada sesetengah mangsa yang dipatuk ular dari keluarga berkenaan mengalami kesan bengkak serta demam akibat tindak balas patukan  ular dan penyembuhan bergantung kepada antibodi mangsa.

Bagi keluarga ular ‘Viperidae’ pula, ia merangkumi semua jenis ular kapak. Ular dari keluarga ini adalah ular yang mempunyai kepala berbentuk segi tiga dan mempunyai bisa jenis ‘haemotoxin’ iaitu boleh memecahkan sel darah merah.

Keluarga ular ‘Pythonidae’ pula adalah keluarga ular sawa tidak berbisa yang banyak terdapat di Afrika, Asia dan Australia.

Keluarga ular ini mempunyai kekuatan membelit yang sangat kuat dan mampu menumpaskan mangsa hanya dengan membelit sahaja.

Ular sawa batik Malaysia pernah dicatat sebagai ular terbesar dan terpanjang di dunia manakala ular sawa darah (Blood Python) pula antara spesies ular yang semakin pupus di dunia, kata Azizi. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement