Anda di sini

Lelaki Kanada bekas tahanan di Afghanistan masih dipenjara

Advertisement
 Gambar fail 3 Januari lalu menunjukkan kotak surat khabar memaparkan berita mengenai Boyle pada laman depan akhbar tempatan di Ottawa. — Gambar AFP
PERBICARAAN TANGGUH: Gambar fail 3 Januari lalu menunjukkan kotak surat khabar memaparkan berita mengenai Boyle pada laman depan akhbar tempatan di Ottawa. — Gambar AFP

OTTAWA: Seorang lelaki Kanada yang dikurung bertahun-tahun di Afghanistan sebelum didakwa di negara asalnya atas 15 kesalahan masih dalam tahanan kelmarin ketika menunggu perbicaraan ikat jamin yang ditunda minggu depan.

Hakim memberikan peguam Joshua Boyle, 34, lebih banyak masa untuk menyediakan hujah pembebasannya dengan ikat jamin dan menjadualkan perbicaraan baharu pada 15 Januari.

Ikat jamin biasanya termasuk persediaan bagi pengawasannya, di mana dia akan tinggal serta beberapa syarat lain.

Boyle muncul kira-kira seminit dalam perbicaraan melalui paparan video dari sebuah pusat tahanan di Ottawa, memakai seragam penjara jingga dan berjambang lebat.

Dia kedengaran mengeluh dan mengangkat keningnya ketika hakim membuat keputusannya.

Boyle dan isterinya Caitlin Coleman dari Amerika Syarikat (AS) dijadikan tahanan kumpulan Taliban Afghan selama lima tahun.

Mereka dibebaskan pada Oktober lepas bersama tiga anak mereka yang dilahirkan dalam tahanan sebelum pulang ke Kanada.

Pihak berkuasa Kanada kemudian mendakwanya pada minggu lepas atas 15 tuduhan termasuk serangan, gangguan seksual dan pengurungan haram.

Dia turut didakwa mengeluarkan ugutan maut, memberikan maklumat salah kepada polis dan menyebabkan seorang mengambil sejenis bahan beracun.

Dokumen mahkamah menyatakan jenayah tersebut dilakukan selepas dia pulang ke Kanada.

Mahkamah mengarahkan pengharaman penerbitan identiti mangsanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Coleman tidak memberikan komen mengenai tuduhan spesifik terhadap suaminya namun mempersalahkan ketegangan dan trauma yang terpaksa dihadapi bertahun-tahun dan kesannya terhadap keadaan mentalnya.

Boyle dan Coleman, yang berkahwin pada 2011, diculik Taliban semasa lawatan pengembaraan melalui Afghanistan pada 2012. Mereka kemudian dipindahkan di bawah jagaan puak Haqqani yang mempunyai hubungan dengan pihak tentera Pakistan.

Pihak tentera Pakistan menyatakan keluarga tersebut telah dibebaskan dalam satu operasi menyelamat yang berani.

Namun segelintir pegawai AS dan Kanada mempersoal keterangan tersebut, sebaliknya mencadangkan ia mungkin melibatkan penyerahan tahanan yang dibincangkan dengan rangkaian Haqqani di mana Islamabad dikatakan menyokongnya. — AFP

Advertisement