Anda di sini

‘Gegar Lawak’ medan kelahiran pelapis pelawak di Malaysia

Advertisement
 Para peserta, rakan komedi (Dzawin dan Nizam Jentik Jentik) dan pengacara (Kamal Adli dan Fad Bocey) Gegar Lawak bergambar bersama Raqim, Bob Azrai (Ketua Komedi Bahagian Perniagaan Melayu Astro) dan Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Warna selepas sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin lepas. — Gambar Astro
GEGAR LAWAK: Para peserta, rakan komedi (Dzawin dan Nizam Jentik Jentik) dan pengacara (Kamal Adli dan Fad Bocey) Gegar Lawak bergambar bersama Raqim, Bob Azrai (Ketua Komedi Bahagian Perniagaan Melayu Astro) dan Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Warna selepas sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin lepas. — Gambar Astro

SEBANYAK 14 kumpulan peserta yang terdiri daripada peserta solo, duo dan trio bakal berentap secara langsung di pentas ‘Gegar Lawak’, sebuah program realiti pertandingan pencarian bakat lawak terbaharu, yang akan ditayangkan mulai 19 Januari 2018 (Jumaat) di Astro Warna (saluran 123) dan Warna HD (saluran 134).

Sebagai pilihan alternatif, ia juga boleh didapati di platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.

Program ‘Gegar Lawak’ merupakan sebuah platform baru untuk melahirkan barisan pelapis pelawak solo, duo dan trio dari negara Nusantara (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura) dengan mencungkil, mengasah dan mengetengahkan bakat-bakat lawak ke dalam industri hiburan.

Sebanyak 14 kumpulan peserta telah terpilih untuk menyertai ‘Gegar Lawak’ musim pertama yang mana mereka ini merupakan peserta dari Malaysia dan Indonesia. Mereka terdiri daripada lapan peserta solo, empat peserta duo dan dua peserta trio.

Kesemua peserta dipilih menerusi sesi uji bakat terbuka dan sesi uji bakat secara atas talian yang telah diadakan dari 19 hingga 26 November 2017 dengan penyertaan lebih dari 700 peserta.

Bakal bersiaran secara langsung selama sembilan minggu, program ini akan menggandingkan pelakon popular tanah air, Kamal Adli dan pelawak hebat, Fad Bocey sebagai Pengacara program.

Ini merupakan gabungan sulung Kamal dan Fad selepas masing-masing merangkul gelaran Juara dan Naib Juara untuk program Super Spontan Superstar 2017 yang disiarkan baru-baru ini.

Dalam pada itu, empat orang pelawak terkemuka, Tauke, Nizam Jentik Jentik, Ali Puteh dan Dzawin akan menyarung jersi ‘Rakan Komedi’, dan tugas utama mereka adalah sebagai penasihat lawak yang akan membimbing dan membantu peserta selain bertujuan untuk berkongsi idea, buah fikiran dan pendapat akan persembahan para peserta ketika sesi latihan.

Dari situ, peserta boleh memperketatkan lagi corak persembahan masing-masing serta memantapkan persembahan lawak untuk dipersembahkan di pentas utama kelak.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro Raqim Ahmad, program ‘Gegar Lawak’ ini menjanjikan idea-idea lawak yang segar daripada muka-muka baru dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

Beberapa program lawak yang diterbitkan oleh saluran Astro Warna sepanjang lebih satu dekad ini telah berjaya mencapai matlamat utama penerbitannya iaitu melahirkan pelawak yang berkaliber dan serba boleh.

Kini, kami ingin meneruskan inisiatif yang telah diambil demi memastikan kelangsungan kehadiran bakat-bakat lawak untuk terus mewarnai industri hiburan tanah air menerusi program terbaharu, ‘Gegar Lawak’.

Saya percaya menerusi program ini, kita akan terus dapat meneruskan kesinambungan untuk mencungkil lebih banyak lagi bakat-bakat terpendam dalam diri setiap peserta seperti mengacara dan berlakon, bukan sekadar membuat lawak semata-mata”, katanya.

Tambah Raqim lagi, “Mereka inilah yang akan menjadi antara anak seni yang disegani dan memiliki nilai komersial yang tinggi pada suatu hari nanti, sama seperti apa yang telah dilalui oleh barisan pelawak kelahiran Astro Warna sebelum ini seperti Johan, Nabil Ahmad, Zizan Razak, Jihan Muse, kumpulan Bocey, Fikry, Sepahtu dan ramai lagi.”

Juara ‘Gegar Lawak’ akan memenangi hadiah wang tunai RM50,000 dan sebuah trofi manakala Naib Juara akan membawa pulang RM25,000 dan juga sebuah trofi.

Tempat ketiga pula akan membawa pulang RM15,000 dan trofi, tempat keempat RM10,000 dan trofi manakala tempat kelima RM5,000 dan juga sebuah trofi.

Advertisement