Anda di sini

AS mohon maaf kepada Jepun

Advertisement
 Sebuah helikopter gempur AS membuat pendaratan kecemasan di Yomitan, Okinawa dalam gambar rakaman Kyodo kelmarin. — Gambar Reuters
INSIDEN BERULANG: Sebuah helikopter gempur AS membuat pendaratan kecemasan di Yomitan, Okinawa dalam gambar rakaman Kyodo kelmarin. — Gambar Reuters

TOKYO: Amerika Syarikat (AS) memohon maaf kepada Jepun berikutan rentetan insiden melibatkan peralatan ketenteraan AS yang telah menimbulkan kemarahan terhadap operasinya di negara tersebut, menurut jurucakap kementerian di Tokyo.

Setiausaha Pertahanan AS James Mattis memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Jepun Itsunori Onodera selepas siri kemalangan termasuk pendaratan kecemasan helikopter tentera AS di Okinawa kelmarin.

Kejadian berlaku hanya dua hari selepas insiden sama di pulau selatan Jepun, di mana lebih separuh daripada 47,000 anggota tentera AS di Jepun ditempatkan.

Menteri menerima permohonan maaf daripada Setiausaha Mattis,” menurut jurucakap kementerian pertahanan Jepun.

Saya memberitahu beliau mengenai isu tersebut, membangkitkan contoh-contoh konkrit beberapa kemalangan pada September, Oktober, November dan Disember tahun lepas serta Januari tahun ini di Okinawa,” Onodera memberitahu wartawan selepas rundingan.

Onodera menyatakan beliau berharap untuk berlepas ke Hawaii secepat mungkin semalam untuk menemui komander kanan Pasifik Harry Harris bagi membincangkan mengenai isu terbabit.

Tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan selepas helikopter mendarat berhampiran hotel di kampung Yomitan kelmarin.

Namun Gabenor Okinawa Takeshi Onaga menunjukkan kekecewaannya semalam, mengakui beliau tidak dapat berkata apa-apa.

Saya ingin mereka (pihak tentera AS) berasa malu dengan ketidakmampuan mereka mengawal perbuatan mereka,” menurut ahli politik kanan Okinawa, menurut kepada Jiji Press.

Pada bulan lepas, satu bahagian cermin sebuah helikopter tentera AS jatuh di padang sukan sekolah berhampiran pangkalan udara marin Futenma di Okinawa, namun sekali lagi tiada sesiapa tercedera.

Pada Oktober, sebuah helikopter tentera AS tiba-tiba terbakar selepas mendarat di padang kosong di pulau tersebut.

Kemalangan sebegitu menimbulkan tentangan terhadap pangkalan AS di pulau strategik itu, yang menjadi tapak kawasan pelancaran aktiviti tentera AS di Asia.

Satu siri jenayah termasuk rogol, serangan, langgar lari dan kemalangan akibat pemanduan dalam keadaan mabuk oleh kakitangan AS turut menimbulkan bantahan di Okinawa, keadaan menjengkelkan dalam hubungan di antara sekutu rapat keselamatan itu. — AFP

Advertisement