Anda di sini

Amalan bekerjasama faktor kejayaan pelaksanaan aktiviti

Advertisement
 Ahli-ahli jawatankuasa pengelola majlis bersedia melakukan gimik sambutan Ambang 2018.
CERIA: Ahli-ahli jawatankuasa pengelola majlis bersedia melakukan gimik sambutan Ambang 2018.

AMALAN bekerjasama atau bergabung tenaga mampu memastikan kejayaan pelaksanaan sesuatu aktiviti di pelbagai peringkat.

Bagi pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Bajai dan Kampung Hilir serta KRT Kampung Sungai Ud dan Kampung Tengah, Dalat, amalan ini amat dialu-alukan kerana terbukti menjayakan banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun lepas.

Menurut Zaidi Lai Pengerusi KRT Jalan Bajai dan Kampung Hilir merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Sambutan Ambang 2018, gabungan kerjasama antara KRT dan masyarakat setempat bukan sahaja memastikan kejayaan sesuatu aktiviti, malah ia mampu menguatkan semangat setiap individu yang terlibat walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan.

Salah satu aktiviti yang berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak tahun lepas ialah Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Sambutan Ambang 2018.

Sehubungan itu, Zaidi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli jawatankuasa kerja yang telah bekerja keras dan bersungguh-sungguh dengan penuh komitmen menjayakan majlis gabungan ini.

Selain dua KRT berkenaan, majlis turut dijayakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Ud dan diadakan di balai raya kampung berkenaan.

Pelbagai acara menghiasi majlis yang dihadiri lebih 200 tetamu ini seperti cabutan nombor bertuah dengan hadiah berupa makanan dan barangan keperluan harian, selain persembahan nyanyian, tarian poco-poco dan tamborin daripada Gereja SIB.

Advertisement