Anda di sini

Pemimpin Adalah Pemberi

Advertisement

“DENGAN MEMBERI, SAYA BERASA SEPERTI SAYA BENAR-BENAR HIDUP.” – MORRIE SCHWARTZ

Kami di Leadernomics menghargai dan mendukung lima nilai. Salah satu nilai utama adalah ‘memberi’. Nilai inilah yang kerap terlepas pandang, termasuk oleh warga pekerja.

Ramai menganggap sifat memberi tidak selari dengan kepimpinan. Mereka berpendapat bahawa kepimpinan lebih selari dengan ‘menggunakan’ dan ‘mendapatkan’. Namun di Leaderonomics, kepercayaan teras kami bersandar pada asas bahawa kepimpinan adalah memberi. Mana mungkin?

Beberapa tahun lepas, semasa sesi soal jawab di sebuah persidangan, seorang peserta yang telah melayari laman web kami mengajukan soalan berkenaan nilai ‘memberi’ yang kami pegang.

Dia berkata adalah mudah bagi kami mengamalkan nilai sebegini memandangkan kami sebuah organisasi sosial. Pada pendapatnya, nilai sebegini tidak akan berhasil dalam sesebuah organisasi yang mementingkan nilai pulangan bagi pemegang saham.

Bahkan dia menambah bahawa memberi hanya boleh dilakukan setelah kita ‘memperoleh’. Katanya, syarikat perlu berusaha ‘memperoleh’ hasil dan keuntungan sebelum berfokus pada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan ‘memberi’ kepada masyarakat. Dia tidak berganjak daripada pendiriannya bahawa untuk memberi, kita perlu terlebih dahulu memiliki, bukan sebaliknya.

Namun jika kita menyelidiki perjalanan hidup pemimpin yang hebat, kita akan sedar bahawa setiap seorang daripada mereka membudayakan tabiat memberi dalam organisasi masing-masing. Roger Enrico memberi dengan mendidik warga PepsiCo. Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) legenda General Electric (GE), Jack Welch, pula meluangkan begitu banyak masa dan tenaga untuk mendidik.

Organisasi lain seperti Google menggalakkan persekitaran yang membolehkan setiap pekerja membantu antara satu sama lain. Ini mewujudkan kerjasama secara berkesan lalu mencetuskan inovasi.

Pemimpin terhebat merupakan pemberi yang terhebat. Sumber paling berharga bagi seseorang KPE adalah masanya. Masanya begitu terbatas. Namun KPE yang meluangkan masa, asset paling berharga mereka, untuk mendidik orang lain, merekalah yang lambat-laun berkesudahan dengan kejayaan.

Apakah makna ini?

Memberi membantu kita membina mentaliti mewah. Apabila kita memberikan masa, wang, sumber dan tenaga untuk sesuatu, kita yakin kita akan tetap baik biarpun tanpanya.

Lebih penting, pemberi lebih berjaya sebagai pemimpin kerana mereka membantu orang di sekeliling untuk meningkat maju. Pemimpin yang memberi senang sahaja menemui kekayaan dan potensi di sekeliling mereka. Mereka menawarkan sokongan dan tidak lokek berkongsi ilmu.

Pada tahun 2006, saya bertemu buat beberapa kali dalam sesi makan pagi dengan seorang KPE yang terkemuka. Dia memerlukan nasihat saya tentang cara menstruktur semula dan mentransformasi organisasinya. Selepas bertemu untuk beberapa bulan, dia mengucapkan terima kasih atas masa dan nasihat yang saya berikan. Saya tidak menerima sebarang bayaran atau beroleh apa-apa sebagai balasan tetapi saya seronok meluangkan masa dengannya dan gembira kerana dapat membantu.

Beberapa tahun kemudian, apabila dia mendapat berita bahawa saya menubuhkan Leaderonomics, dia menghubungi saya dan berkeras mahukan organisasinya mencuba perkhidmatan kami. Selalunya amat payah untuk mendapatkan pelanggan apabila syarikat baru sahaja ditubuhkan dan saya betul-betul bersyukur padanya kerana menawarkan organisasinya untuk dijadikan sebagai bahan uji kaji kami.

Oleh kerana kualiti kerja kami untuk organisasinya sangat memuaskan, banyak organisasi lain menyusul datang menjadi pelanggan kami. Jika saya tidak betul-betul berusaha membantunya, kami mungkin tidak mampu mengecapi kejayaan pada awal penubuhan syarikat saya.

Pemimpin terbaik selalu memberi. Mereka kerap membelakangkan kepentingan diri demi kepentingan organisasi dan pekerja. Mereka sengaja berfokus untuk memenuhi keperluan orang lain tanpa memikirkan diri sendiri.

Cara menjadi pemimpin yang suka memberi

Berikut adalah beberapa petua untuk menjadi pemberi yang lebih baik.

  • Luangkan masa. Rancang untuk meluangkan masa selama 30 minit setiap hari dengan rakan sepasukan supaya ikatan perhubungan terjalin.
  • Mendidik. Jika anda tiada peluang mendidik warga kerja di organisasi sekarang, hubungi kami dan tawarkan diri untuk berkhidmat secara sukarela dalam kem-kem yang kami anjurkan. Anda akan berpeluang menggunakan kemahiran anda untuk mengajar sesuatu kemahiran atau kebolehan kepada kanak-kanak, pelajar universiti mahupun organisasi bukan kerajaan. Pendidik adalah pemberi yang terulung.
  • Wujudkan jurnal aktiviti memberi. Sekali setahun, lihat kembali apa yang anda sudah beri dan anda akan rasa terkejut betapa bertuahnya diri disebabkan sifat murah hati.
  • Beri sedikit tetapi kerap. Daripada memberi sekaligus setahun, luangkan lebih masa, tenaga dan sumber yang anda ada dalam kadar yang lebih kecil tetapi buatlah secara lebih kerap.
  • Buatnya secara spontan. Budayakan amalan memberi dengan suka hati, tanpa perlu berfikir apa-apa sebabnya.
  • Memberi sumbangan wang. Beri sumbangan wang kepada mereka yang memerlukan.
  • Buat kerja sukarela. Jika anda tidak pasti tempat untuk anda hulurkan bantuan sukarela, layari www.dogoodvolunteer.com
  • Bimbing orang lain. Jadikannya matlamat anda untuk meningkat kemajuan sekurang-kurangnya seorang dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan.

Akhir kata

Beberapa tahun dahulu, saya terdengar cerita tentang seorang budak perempuan yang memerlukan transfusi darah daripada adik lelakinya. Doktorbertanya budak lelaki itu tentang kesanggupannya menderma darah kepada kakaknya. Setelah lama berfikir, dia bersetuju kerana ini boleh menyelamatkan kakaknya. Apabila proses itu hampir berakhir, budak lelaki itu bertanya doktor berkenaan, “Adakah saya akan terus mati?” Doktor itu bingung, dan memberitahu budak lelaki itu bahawa dia tidak akan mati.

Budak lelaki itu berasa hairan dan membalas, “Saya ingat kamu mahu ambil semua darah saya untuk menyelamatkan kakak. Saya ingat saya akan mati.” Budak itu sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan kakaknya.

Anda tidak perlu mengorbankan nyawa untuk memberi. Apabila memberi, ini bukan sahaja membentuk anda menjadi pemimpin yang lebih baik, malah seumpama budak lelaki dalam cerita tersebut, anda akan meninggalkan impak yang ketara dalam kehidupan seseorang. Jadi, terus melangkah dan berilah sesuatu.

Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Beliau boleh dihubungi melalui [email protected], Facebook dan Twitter.

Sumber

Advertisement