Anda di sini

iR Radzi tampil dengan album sulung berjudul ‘Sempurna’

Advertisement
__alt__

SETELAH hampir tiga tahun menjadi penyanyi runut bunyi dan popular dengan lagu ‘Sempurna Waktu’ dalam drama TV3 berjudul ‘Teman Lelaki Upahan’, iR Radzi kini tampil dengan album sulungnya berjudul ‘Sempurna’.

 Album itu amat bermakna bagi pemilik nama sebenar Mohamad Shah Riadzi, 35, kerana ia menceritakan kisah sebenar perjalanan hidupnya sehingga bergelar artis.

 Beliau turut mempertaruhkan lagu ‘Cinta Terakhir’, yang didedikasikan kepada arwah ayahnya, Jamali Ellen yang meninggal dunia pada Ogos 2016 akibat jangkitan kuman pada bahagian paruparu, bakal menjadi lagu digemari ramai.

 “Lagu ini menyelami sanubari seorang ayah yang lemah lembut, terlalu berharga buat keluarga, susah senang bersama.

 Album ini memang saya dedikasikan untuk Allahyarham,” katanya yang berasal dari Sarawak kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel baru-baru ini.

 Beliau juga berkata albumnya ini memiliki kekuatan sendiri dan terdapat pelbagai perasaan seperti gembira, sedih kerana ia menceritakan mengenai kisah sebenar tentang hidupnya dan temanteman rapat beliau.

 iR Radzi mempertaruhkan lapan buah lagu antaranya ‘Kontra Analisa’, ‘Stay’, ‘Tell Me Why’, ‘Maafkan Aku’ dan satu lagu duet bersama finalis Gegar Vaganza 4, Hazami iaitu ‘Berikan Masa’.

 “Kesemua lagu itu mempunyai genre berbeza seperti kehidupan yang turut menceritakan mood saya sebagai seorang pelajar, suami, bapa dan juga sebagai seorang anak.

 “Terdapat beberapa komposer yang terlibat antaranya Audi Mok, Hazami dan juga komposer dari Indonesia, Bemby Noor,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

 Album iR Radzi boleh didengari di semua platform muzik seperti Spotify, Joox, Raku dan juga boleh dibeli secara digital di iTunes.

 Selain menyanyi, beliau juga merupakan seorang pelakon dan bakal tampil dalam drama televisyen pada pertengahan tahun ini.

 “Sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama ‘Noktah Cinta’ dan sekarang ini saya ada menerima dua tawaran untuk berlakon daripada TV3 dan Astro.

 “Sekarang ini masih dalam peringkat perbincangan dan dalam fasa skrip terakhir.

 Saya akan berbincang dahulu untuk memilih mana yang terbaik untuk saya,” tambahnya.

 — Bernama

Advertisement